Orang ramai tidak digalak guna media sosial untuk salur aduan berkaitan bekalan - Fuziah
Bernama
Oktober 17, 2023 17:26 MYT
Oktober 17, 2023 17:26 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk membuat aduan berkaitan bekalan barangan keperluan, sebaliknya mengemukakan maklumat tersebut di saluran rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ini kerana aduan yang disampaikan di media sosial hanya akan melambatkan lagi proses tindakan pihak KPDN terhadap aduan tersebut.
"Kadang-kadang bila netizen suka menggunakan saluran aduan di media sosial, ia akan melambatkan proses tindakan diambil. Sebaik-baiknya guna saluran yang betul di mana kalau saluran disampaikan kepada KPDN kita boleh mengambil tindakan dengan segera.
"Contohnya, kalau kes yang viral itu kita terpaksa pergi cari pula siapa yang mula viralkan, sumber maklumat, pergi jumpa dan baru hendak mulakan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya di Cheras Jaya, di sini hari ini.
Justeru, Fuziah berkata satu saluran khas menerusi kod QR aduan bekalan telah dibuka dengan kod tersebut akan dihubungkan terus kepada talian hotline WhatsApp khas KPDN dan ia boleh didapati laman sesawang rasmi KPDN.
Beliau berkata menerusi saluran khas itu, kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang keperluan asas menjadi tumpuan utama dan siasatan akan dijalankan oleh penguat kuasa KPDN dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
"Jadi saya pohon tidak menggunakan saluran media sosial, tapi kalau betul hendak sampaikan maklumat itu, sampaikan pada KPDN, kita ada banyak saluran aduan tapi kita buka khas aduan bekalan ini...bekalan beras, minyak dan gula," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan bersama dokumen lengkap di mana-mana saluran KPDN seperti WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000, portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez Adu KPDN serta Bilik Gerakan Penguatkuasaan di 03-88826088 atau 03-88826245.
-- BERNAMA