Orang ramai serbu LHDN isytihar pendapatan secara sukarela

Bernama
September 30, 2019 23:19 MYT
Kebanyakan pejabat LHDN dibanjiri orang ramai yang juga pembayar cukai untuk mendaftar melalui program itu. - Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang pada hari terakhir mengisytiharkan pendapatan secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), pada Isnin.
Tinjauan Bernama di pejabat LHDN cawangan Wangsa Maju mendapati kawasan berkenaan dibanjiri orang ramai yang juga pembayar cukai untuk mendaftar melalui program itu meskipun hari ini hari bekerja.
Seorang pembayar cukai, Ang Chuan Shing, 39, yang bekerja dalam bidang pemasaran, berkata beliau mengambil peluang untuk melunaskan tanggungjawabnya itu memandangkan waktu pekerjaannya yang fleksibel.
"Program ini sangat baik. Sudah tentu untuk kebaikan negara, kita patut bayar cukai. Saya baharu menyedari hari ini hari terakhir, jadi saya datang terus ke sini untuk mendaftar dan menyertai program ini," katanya kepada Bernama.
Seorang akauntan R. N. Kumar, 47, yang membantu mendaftarkan salah seorang pelanggannya dalam PKPS, berkata pembayar cukai perlu prihatin mengenai kepentingan mengisytiharkan pendapatan masing-masing untuk pembangunan negara.
"Memang patut bayarlah (cukai)... sebab wang itu akan digunakan untuk pembangunan negara dan untuk perbelanjaan kerajaan. Kebanyakan pelanggan saya orang tua dan mereka menjalankan perniagaan. Semasa saya di sini, pekerja LHDN turut membantu kami sebagai pembayar cukai ini," katanya.
Kamarulzaman Mohd Khamis, 56, yang merupakan penjawat awam pula menzahirkan pandangannya mengenai pendekatan perlu diambil untuk memaklumkan mengenai pendaftaran pembayaran cukai kepada orang awam.
"Tindakan dilaksanakan LHDN ini memang bertepatan, untuk pendapatan negara. Saya mendapat maklumat daripada rakan saya yang bekerja di sini, kebanyakan datang pada hari ini, berbanding dengan semalam (Ahad), lebih ramai tahu hari ini hari terakhir, walhal semalam (kaunter) buka," katanya yang hadir bagi mengemas kini fail cukai pendapatan untuk persaraannya kelak.
Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh PKPS LHDN kerana pihaknya sudah memberi tempoh mencukupi kepada pembayar cukai untuk mengisytiharkan pendapatan masing-masing secara sukarela kepada agensi berkenaan.
Lim sebelum ini pernah mengumumkan PKPS LHDN yang bermula pada 3 Nov 2018 sepatutnya berakhir pada 30 Jun lepas, namun berikutan sambutan amat menggalakkan, program itu dilanjutkan sehingga 30 Sept tahun ini.
Beliau berkata mulai 1 Okt 2019, kadar penalti sebanyak 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan bagi kesalahan melaporkan cukai pendapatan yang berkurangan.
-- BERNAMA
#cukai pendapatan #isytihar cukai #LHDN #Orang ramai #Program Khas Pengakuan Sukarela #rakyat Malaysia
;