Orang ramai selamatkan dua lelaki dari rentung

Mohd Surfri Affendi
Oktober 28, 2022 06:10 MYT
Ketika bomba tiba, kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah rumah jenis kekal dua tingkat telah terbakar 20 peratus. - Foto JBPM Sarawak
BINTULU: Dua lelaki nyaris rentung apabila terperangkap di dalam sebuah bilik yang terbakar, di Jalan Tun Hussein Onn, Taman Kemena Raya di sini semalam.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.25 malam.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan, pihak kita telah mengatur gerak dua jentera, dengan kekuatan 21 pegawai dan anggota dari Balai Bintulu dan Balai Kidurong menuju lokasi," katanya.
Menurut Henderi, setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah rumah jenis kekal dua tingkat, yang terbakar 20 peratus.
"Terdapat dua mangsa terperangkap dalam insiden tersebut, namun telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba," tambahnya.
Seorang mangsa, katanya, ditemui masih sedar manakala seorang mangsa lagi, sebaliknya.
"Kedua-dua mangsa diberi bantuan kecemasan oleh paramedik EMRS sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan seterusnya."
Kata Henderi, pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran iaitu satu aliran salur bantu mula dan satu aliran hos hantaran 100 kaki.
Kedua-dua mangsa, kata Henderi, dilaporkan selamat dan dirujuk ke Hospital Bintulu.
Punca kejadian dan taksir kerugian sedang disiasat pasukan forensik bomba.
#Bintulu #bomba #dua nyaris rentung #JBPM Sarawak
;