Orang ramai perlu waspada taktik penipuan tawar barangan elektronik murah

Bernama
Mac 14, 2024 04:30 MYT
Ramli menunjukkan peralatan elektronik yang dirampas pada sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur, 14 Mac 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menasihati orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan baharu yang menawarkan barangan elektronik pada harga murah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media di sini semalam berkata penipuan berkenaan dilakukan menerusi pautan 'mobile website' palsu yang diwujudkan sindiket bagi menipu mangsa.
Beliau berkata melalui perkongsian maklumat dengan sebuah syarikat telekomunikasi, polis berjaya mengesan sindiket yang menghantar pautan penipuan berkenaan kepada pengguna melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sindiket berkenaan, katanya mewujudkan 'Based Transceiver Station' (BTS) yang palsu untuk menarik pengguna talian daripada syarikat telekomunikasi yang berbeza serta telah menukar rangkaian jalur lebar 4G kepada 2G.
"Sindiket itu menggunakan teknik 'Man In The Middle' bagi menghantar SMS penipuan kepada pengguna. Apabila talian telefon bimbit memasuki rangkaian BTS milik sindiket, SMS yang mengandungi skrip penipuan (pautan phishing) dihantar daripada 'Short Code SMS' (spoofing) yang sebenar.
"Mangsa yang menekan pautan itu akan dibawa ke 'mobile website' palsu yang dicipta oleh sindiket terbabit yang menawarkan barangan elektronik. Mangsa yang tertarik dengan tawaran harga murah tersebut akan terus membuat bayaran melalui 'payment gate way'," katanya.
Ramli berkata semasa membuat bayaran, harga yang tertera adalah lebih jauh tinggi daripada harga yang ditawarkan dan mangsa yang tidak memeriksa jumlah bayaran dengan betul akan kehilangan wang serta- merta selepas meluluskan bayaran selain barangan yang dipesan juga tidak diterima.
Beliau berkata sebagai langkah berhati-hati, orang ramai diingatkan untuk tidak menekan sebarang pautan yang dihantar melalui SMS.
"Ini juga selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 28 April tahun lepas yang tidak lagi membenarkan penghantaran pautan pencari sumber seragam (URL) melalui SMS," katanya.
-- BERNAMA
#barangan elektronik murah #JSJK Bukit Aman #SMS #mobile website palsu
;