Orang ramai meriahkan raptai Hari Kebangsaan, manfaatkan cuti sekolah

Bernama
Ogos 29, 2023 15:08 MYT
Dataran Putrajaya hari ini dipenuhi pengunjung yang hadir sempena cuti sekolah sekali gus memeriahkan suasana raptai perbarisan sempena Hari Kebangsaan 2023 yang akan disambut Khamis ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Raptai penuh perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk kanak-kanak yang memanfaatkan cuti sekolah ketika ini.
Demi memastikan dapat duduk di tempat duduk bertingkat yang disediakan atau setidak-tidaknya berada di barisan hadapan sepanjang jalan di Dataran Putrajaya di sini, ada yang sanggup datang seawal 6 pagi semata-mata untuk melihat dengan jelas semua acara yang diatur.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Merab Luar, Kajang, Muhammad Thaqif Fawwaz Mohd Tadzman, 10, ketika ditemui berkata komponen perarakan yang paling diminatinya ialah automotif menerusi Kontinjen Ekonomi serta Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran.
"Saya bangun pukul 5 pagi kerana nak datang tengok perarakan, saya rasa seronok dan yang paling best tengok kereta sports dan antik tadi," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Sharifah Fatin Najwa Wan Muhd Najib, 18, dari Sungai Udang, Melaka, turut tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri pada 'sneak peek' sambutan hari ini yang menurutnya cukup meriah.
Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong itu berkata beliau yang hadir seawal 7 pagi teruja melihat perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggota keselamatan dan pertahanan lain yang segak dan tegap mengenakan uniform masing-masing.
"Ini kali pertama saya datang, rasa teruja tengok suasana hari ini dan sudah pasti saya akan datang untuk menyaksikan acara penuh pada 31 Ogos nanti," katanya yang hadir bersama keluarganya hari ini.
Sementara itu, Muhammad Hamzah Zainal Abidin, 36, berkata selain menemani isterinya yang merupakan peserta perbarisan dan perarakan di bawah Kontinjen Perbankan, beliau turut membawa empat orang anak bagi mengisi waktu lapang sempena cuti sekolah sekarang.
"Saya datang hari ini untuk merasai sendiri semangat Hari Kebangsaan, raptai hari ini dah meriah, orang pun ramai, mungkin nanti pada hari sambutan, lagi ramai," katanya.
Dianggarkan bilangan pengunjung akan menjangkau 100,000 orang pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di sini, Khamis ini, yang akan bermula pada 7.30 pagi.
Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.
Selain itu, pelbagai persembahan memukau bakal disajikan antaranya aksi bermotosikal Army Red Warrior, Tentera Darat Malaysia; aksi terjunan tepat 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), perarakan 'cosplay' dan pelbagai maskot watak animasi terkenal serta perarakan 30 kereta antik.
-- BERNAMA
#raptai Hari Kebangsaan #cuti sekolah #Dataran Putrajaya #Malaysia Madani
;