Orang ramai, media wajar jadi mata dan telinga SPRM banteras pemerdagangan manusia

Eton Khir
Ogos 1, 2022 14:33 MYT
Orang ramai boleh membuat aduan kepada SPRM di hotline 1-800-88-6000 dan SPRM Mobile atau melayari di laman web https://portaladuan.sprm.gov.my
KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia tidak seharusnya diletakkan di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.
Sebaliknya, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, semua pihak termasuk pihak media dan orang ramai perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada suruhanjaya itu.
“Ini perlu kerjasama semua pihak dan tidak boleh hanya bergantung kepada satu pihak sahaja. Kita semua memainkan peranan masing-masing. Saya tidak boleh bayangkan anak dan cucu kita akan hidup bergelumang dengan rasuah.
"Ini kerana kelak, dikhuatiri kita tidak akan tahu lagi bagaimana ingin menyelsaikannya. Ini sememangnya tanggungjawab kita bersama," katanya pada sesi taklimat di Ibu Pejabat SPRM, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Madeline berkata, usaha memperbaiki kedudukan Malaysia di Tier ketiga seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Manusia 2021 tidak akan berjaya jika hanya menunggu SPRM untuk bertindak.
Jelasnya, jenayah itu bukan sahaja menyaksikan perlakuan pencabulan hak asasi manusia dan pencerobohan keselamatan negara malah mampu menjejaskan reputasi negara di mata masyarakat dunia.
Di samping itu, dari segi ekonomi, Madeline berkata, jika jenayah itu tidak ditangani dengan segera dan holistik, ia boleh melandaikan lengkuk pertumbuhan ekonomi.
“Ini kerana kita mungkin terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk menarik pelabur asing dan tiada peluang pekerjaan susulan peningkatan kos pentadbiran serta ketidaktentuan urus niaga susulan persekitaran perniagaan yang tidak kondusif,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Madeline berkata, Malaysia juga perlu mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga buruh murahan dari negara asing kerana ia bakal meletakkan Malaysia kepada ancaman aktiviti pemerdagangan manusia.
Justeru, media sebagai penyebar maklumat digesa memainkan peranan penting untuk melaporkan sesuatu kejadian melibatkan pemerdagangan manusia agar dapat memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan membenteras jenayah itu.
Orang ramai boleh membuat aduan kepada SPRM di hotline 1-800-88-6000 dan SPRM Mobile atau melayari di laman web https://portaladuan.sprm.gov.my
SPRM | Orang ramai, media wajar jadi mata dan telinga SPRM
*Artikel ini adalah kandungan berbayar
#SPRM #Rasuah #pemerdagangan manusia #jenayah
;