Orang ramai dituntut terus patuh PKP meskipun fasa seterusnya dijangka ada kelonggaran

Bernama
April 25, 2020 08:48 MYT
Anggota polis trafik dan tentera menikmati bubur lambuk ketika waktu berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di sekatan jalan raya Jalan Tambun malam tadi. -- fotoBERNAMA
Walaupun kerajaan dijangka memberi sedikit kelonggaran dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat nanti, rakyat masih dituntut untuk mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan agar matlamat memutuskan rantaian COVID-19 tercapai.
Tindakan kerajaan mewujudkan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ternyata memberi impak positif bagi mengekang penularan pandemik maut itu di negara ini terutamanya dalam fasa ketiga ini.
Ia susulan penurunan ketara kes positif COVID-19 di negara ini sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pemulihan wabak itu semakin memberangsangkan sejak PKP fasa pertama dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Meskipun ramai yang mahu PKP ditamatkan segera namun keputusan kerajaan melanjutkan PKP ke fasa keempat bermula 29 April ini selama dua minggu adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Justeru itu kerajaan juga mengambil maklum keresahan rakyat terutamanya membenarkan penuntut di kampus universiti untuk pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini namun mereka yang terlibat perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Selain itu kerajaan turut mempertimbangkan kebenaran satu kali perjalanan bagi mereka yang terperangkap di kampung untuk kembali ke kediaman masing-masing.
Untuk itu, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik bagi mengatur pergerakan mereka termasuk pendaftaran secara dalam talian melalui aplikasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau membuat temu janji ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
Sementara itu dalam suasana menyambut Ramadan agak berbeza tahun ini ekoran penularan wabak COVID-19 ia tidak menghalang umat Islam untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu dalam suasana normal baharu.
Seperti hari biasa dalam tempoh PKP, peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan masih sama dan arahan untuk rakyat terus kekal berada di rumah sering diingatkan bagi memastikan rantaian wabak itu diputuskan sepenuhnya.
Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan tempoh PKP, berkata ia satu tindakan tepat dalam mengekang wabak maut itu daripada menjadi serius di negara ini.
Dr Noor Hisham menyifatkan pelaksanan PKP fasa satu dan dua telah membuahkan kejayaan terutamanya dalam usaha melandaikan keluk pandemik itu dan fasa ketiga adalah proses pemulihan dan berharap impak positif ini akan berterusan.
Beliau sering mengingatkan orang ramai 'vaksin' terbaik ketika ini dalam mencegah COVID-19 adalah melatih diri dengan normal baharu iaitu mengamalkan jarakan sosial satu meter.
Orang ramai juga perlu mengamalkan aspek kebersihan yang tinggi terutamanya kerap mencuci tangan dalam rutin harian selain mematuhi PKP dan duduk di rumah.
-- BERNAMA
#buka puasa #COVID-19 #duduk rumah #Islam #kekal tenang #kerajaan #keselamatan #kesihatan #koronavirus #lanjutan PKP #maut #Noor Hisham Abdullah #normal baharu #operasi #perintah kawalan pergerakan #PKP #polis #rakyat #Ramadan #SOP
;