Orang ramai diseru melancong di kawasan setempat PKPB, PKPP
Bernama
Februari 21, 2021 04:18 MYT
Februari 21, 2021 04:18 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai diseru memulakan aktiviti pelancongan di lokasi setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), susulan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan beroperasi di kedua-dua kawasan itu.
Sambil menasihati orang ramai melancong dengan selamat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu akan dapat menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.
Beliau menyifatkan pengumuman kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan PKPB dan PKPP adalah khabar gembira buat penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.
"Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu.
"Insya-Allah, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semula terutama dalam situasi yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis, namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.
Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.
-- BERNAMA
#aktiviti pelancongan
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#PKPB
#PKPP
#Nancy Shukri
#industri pelancongan
#sektor pelancongan
#pertumbuhan
#SOP
#norma baharu
#kebenaran
#Seni
#budaya
#Warisan
#kelonggaran