Orang ramai diseru ambil peluang bayar saman, diskaun 50 peratus sempena AKM Kedah
Bernama
September 4, 2022 13:47 MYT
September 4, 2022 13:47 MYT
ALOR SETAR: Orang ramai diseru supaya mengambil peluang membayar tunggakan saman susulan diskaun 50 peratus yang ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di sini.
Penyelia kaunter di reruai tawaran pengurangan kompaun saman trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Sarjan Mejar Jamaludin Said berkata orang ramai diharapkan tidak melepaskan peluang yang akan tamat hari ini.
"Kita sebenarnya meletakkan sasaran menyelesaikan saman tertunggak bagi kontinjen Kedah.
"Kita harapkan awam orang dapat datang, di samping singgah di gerai agensi dan korporat yang lain, sila lah ke khemah kaunter saman trafik untuk menyemak dan membayar saman anda jika ada" katanya ketika ditemui Bernama di reruai di pekarangan Stadium Darul Aman hari ini.
Mengulas lanjut, Jamaludin berkata pada hari pertama dan kedua Jelajah AKM Negeri Kedah, lebih RM331,000 bayaran saman berjaya dikutip.
Beliau berkata antara bayaran saman paling banyak diselesaikan menerusi kaunter pembayaran saman yang beroperasi sehingga pukul 5 petang ini ialah saman memandu melebihi had kelajuan serta kesalahan berkaitan tempat letak kereta.
Seorang penduduk, Bukhori Ludin, 65, dari Changlun, Kubang Pasu kira-kira 40 kilometer dari sini yang menemani anak perempuannya berusia 24 tahun membayar saman berkata diskaun sehingga 50 peratus itu satu inisiatif baik PDRM kerana dapat meringankan beban rakyat.
"Anak saya belum kerja, saya datang teman dia bayar saman kerana pandu laju. Saya ada pergi nak bayar saman di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kubang Pasu, tetapi pihak polis sana suruh datang sini bayar sebab ada pengurangan sehingga 50 peratus," katanya.
Jelajah AKM Negeri Kedah yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat berakhir hari ini dan ia adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.
-- BERNAMA