Orang ramai dinasihat tak timbul kekacauan sempena keputusan isu kalimah Allah
Aizat Sharif
Oktober 13, 2013 18:26 MYT
Oktober 13, 2013 18:26 MYT
Polis menasihatkan orang ramai tidak mengganggu ketenteraman awam sempena keputusan isu kalimah Allah yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya esok.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata polis sememangnya menyedari perkembangan tersebut dan telah bersedia dalam menempatkan anggota polis dalam mengawal orang ramai yang berada di Istana Kehakiman.
“Kita menyedari perkara ini dan dijangka esok akan ramai orang membanjiri mahkamah untuk mendengar keputusan tersebut dan kita telah pun bersedia dalam mengawal keadaan yang dijangka akan menempatkan beberapa anggota polis di setiap lokasi berhampiran mahkamah,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan berapa ramai keanggotaan yang dikerah dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di mahkamah esok namun menegaskan bahawa anggotanya akan dikerahkan di beberapa kawasan dalam menjaga sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Anggota polis akan berada di situ (mahkamah) sebelum mahkamah memulakan sidangnya pada jam 8.30 pagi dan kita mengharapkan tiada sebarang insiden buruk yang akan berlaku selepas keputusan diumumkan mahkamah,” katanya lagi.
Pada 10 September lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, telah menangguhkan keputusan rayuan ke 14 Oktober selepas mendengar hujah rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.
Isu kalimah Allah telah dibawa ke Mahkamah Rayuan oleh kerajaan selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal pada 31 December 2009.
Pada 16 Februari, 2010, gereja itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Mereka menuntut perisytiharan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.