Orang ramai dinasihat jangan makan kerang Sungai Geting

Hakim Rahman
September 20, 2015 17:30 MYT
Penjualan kerang Sungai Geting juga dilarang sehingga mendapat pengesahan Jabatan Perikanan Kelantan berhubung kandungan toksin air sungai berkenaan. - Gambar Hiasan dari flicker.com
Orang ramai dinasihat agar tidak memakan kerang yang diperoleh dari Sungai Geting, di sini kerana dikhuatiri masih tercemar akibat fenomena alga atau 'ombak merah'.
Penjualannya juga dilarang sehingga mendapat pengesahan Jabatan Perikanan Kelantan berhubung kandungan toksin air sungai berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata tahap toksin yang tinggi dalam alga merah akan menyebabkan keracunan serta boleh membawa maut.
"Tempoh lama mana (larangan) itu bergantung kepada kajian seterusnya oleh jabatan perikanan, tahap yang dibenarkan adalah 80 mikrogram/100 gram tisu, sekarang 3000 ribu paras amat berbahaya," katanya selepas meninjau Sungai Geting pada Ahad.
Menurutnya, notis larangan sudah dikeluarkan di semua premis penjualan hasil laut, sungai serta pangkalan sungai.
Bagaimanapun, kerang dari sungai lain adalah selamat untuk dimakan.
Sementara itu, Felo Kanan Penyelidik Universiti Malaya, Prof Dr Leaw Chui Pin berkata mereka yang mengalami keracunan toksin alga merah akan menunjukkan simptom seperti sesak nafas, kebas dan lumpuh otot
Malah katanya, dalam kes tertentu ia boleh membawa maut
"Simptom keracunan biasanya bermula dengan rasa kebas bahagian bibir, lidah dan seterusnya melumpuhkan sistem penafasan dan cirit birit,
"Jenis plank ini hanya mencemarkan kerangan tetapi tidak kepada ikan," katanya lagi.
Alga merah dikesan di Sungai Geting sekitar tahun 2001.
Ketika itu, enam penduduk mengalami keracunan dengan salah seorangnya maut kerana memakan kerang-kerangan hasil dari sungai berkenaan.
Pertumbuhan alga merah atau dikenali sebagai "red tide" merupakan kejadian semulajadi.
Kehadiran alga merah dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan air sungai kelihatan merah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad menjelaskan kewujudan alga merah ini tidak menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.
Menurutnya, ketika ini, alga merah dikesan di Sungai Geting sahaja dan nelayan boleh mengutip hasil kerang di sungai-sungai lain tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, larangan mengutip dan menjual semua hasil kerang dari Sungai Geting berkuatkuasa sejak 10 September lalu.
Setakat ini, katanya, tiada kes penduduk keracunan akibat memakan kerang-kerangan dari Sungai Geting diterima.
#Jabatan Perikanan Kelantan #kerang #Sungai Geting #Tumpat
;