Orang ramai dinasihat elak aktiviti luar waktu petang - Jabatan Meteorologi
Bernama
April 20, 2015 07:54 MYT
April 20, 2015 07:54 MYT
Jabatan Meteorologi menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar pada waktu petang berikutan keadaan hujan dan ribut petir berserta angin kencang yang berlaku di negeri-negeri di
kawasan Pantai Barat Semenanjung pada masa ini.
Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Che Gayah Ismail berkata fenomena cuaca sekarang ini berpunca daripada peralihan angin monsun yang menyebabkan cuaca panas pada waktu pagi dan hujan lebat, angin kencang serta ribut petir pada sebelah petang dan malam.
"Justeru, mereka yang berada di kawasan Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dinasihat merancang semula aktiviti harian mereka, jika ada yang penting, lakukannya pada waktu pagi dan tengah hari manakala pada sebelah petang sebaiknya elakkan berada di luar rumah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Isnin.
Semalam, hujan lebat, angin kencang berserta ribut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Selangor yang melibatkan pokok tumbang dan mengakibatkan kerosakan kenderaan dan bangunan. Beberapa penduduk turut mendakwa berlaku kejadian hujan batu.
Che Gayah berkata cuaca buruk kebelakangan ini merupakan situasi lazim mengikut kitaran musim peralihan monsun yang berlaku sehingga hujung Mei.
Katanya peralihan itu berlaku dua kali setahun apabila monsun Timur Laut dalam proses beralih kepada monsun Barat Daya dan apabila monsun Barat Daya dalam proses beralih ke monsun Timur Laut.
"Oleh itu, fenomena cuaca ini bermula dari hujung Mac hingga hujung Mei dan sekali lagi pada Oktober nanti. Angin kuat dan ribut petir ini dipanggil 'over head' iaitu jika berlaku ia akan membawa angin kencang sehingga menumbangkan pokok.
"Kuantiti hujan pula melebihi 50 milimeter sejam yang boleh menyebabkan banjir kilat," katanya.
Che Gayah menasihatkan orang ramai yang kebetulan berada di luar rumah ketika cuaca mula gelap segera berlindung di dalam bangunan serta mengelak berlindung di bawah pokok atau kawasan lapang bagi mengelak kejadian tidak diingini.