Orang ramai diminta tidak panik dengan Sonamu

Astro Awani
Januari 7, 2013 07:11 MYT
Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu meminta orang ramai di kawasan Pantai Timur agar tidak panik dengan ribut tropika Sonamu.
Menurut Setiausaha Keselamatan MKN Negeri, Tajul Ariffin Muhamad, keadaan semasa menunjukkan kekuatan ribut yang dijangka membadai negeri di Pantai Timur semakin berkurangan apabila menghampiri perairan negara.
Katanya mengikut ramalan, jika ribut tropika melanda, ia boleh menyebabkan banjir besar.
Malah ia dijangka lebih teruk dari gelombang pertama sebelum ini.
Bagaimanapun jelasnya, pemantauan mendapati ribut tersebut berpusar di tengah laut dan menjauhi kawasan persisir pantai.
Namun Tajul tetap meminta penduduk terutama yang tinggal di kawasan pantai agar sentiasa berwaspada.
Setakat ini kesemua agensi keselamatan seperti bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga.
#MKN #sonamu #tajul ariffin muhamad #terengganu
;