Orang ramai diminta salur maklumat 12 pengikut ajaran sesat Millah Abraham

Bernama
November 18, 2015 08:00 MYT
PAIMUZI: Mereka yang dituduh sebagai pengikut ajaran Millah Abraham telah menghilangkan diri selepas dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah dengan seorang penjamin sejak Oktober 2014.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai 12 pengikut ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang tidak menghadirkan diri pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Paimuzi Yahya berkata mereka yang dituduh sebagai pengikut ajaran Millah Abraham telah menghilangkan diri selepas dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah dengan seorang penjamin sejak Oktober 2014, dan mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.
Paimuzi berkata 12 tertuduh itu terdiri daripada Abdul Azim Abdullah, Aizul Farikh Zainal Abidin, Zakaria Mat Kasa, Mohd Arif Abdul Aziz, Mohamad Harizal Kamarudin, Amirol Hafiz Mohd Samad, Nur Ridah Osman, Norayuni Mat Yusof, Heffy Syamsuar, Mohd Fazil Mohd Yunus, Raja Mohd Faidzul Draman dan Mohd Razid Baharudin.
Katanya tertuduh yang ditahan dalam serbuan di Cheras perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah di sini pada 25 November ini dan mereka yang ditahan di Wangsa Maju perlu menghadirkan diri di Mahkamah Syariah di sini pada 30 November ini.
"Kesemua tertuduh sebelum ini ditahan menerusi dua serbuan berasingan iaitu di Megan Pheonix, Jalan Cheras, pada 20 Oktober 2014 dan di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 3 November 2014," katanya pada sidang berita di sini pada Isnin.
Pamuzi berkata siasatan JAWI mendapati ajaran yang diasaskan Ahmad Mosadiq dari Indonesia itu jelas bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.
Katanya antara perkara yang bertentangan ialah mereka membawa ajaran dan kerajaan baharu, mendakwa ada Rasul selepas Nabi Muhammad SAW, mensyirikkan golongan yang tidak mengikut ajaran mereka, menggabungkan tiga agama (iaitu Islam; Kristian dan Yahudi), memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri, mendakwa kejadian hari kiamat adalah palsu dan meninggalkan solat Jumaat serta solat lima waktu.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 12 orang itu boleh menghubungi pegawai penyiasat JAWI, Farah Wahida Zulkiflee di talian 011-3296 1821 atau talian bebas tol Penguatkuasaan JAWI 1-800-881771.
#Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan #JAWI #Millah Abraham@ Ibrahim #Paimuzi Yahya
;