Orang ramai diminta patuhi larangan adakan aktiviti di Pantai Tok Bali

Bernama
Disember 16, 2019 18:13 MYT
Dua bendera merah telah dipasang berhampiran muara Tok Bali sebagai menandakan amaran bahaya kepada pengunjung sejak awal bulan ini. - Gambar hiasan
Orang ramai diminta mematuhi larangan dengan tidak mengadakan sebarang bentuk aktiviti di Pantai Tok Bali berikutan angin kencang dan laut sedang bergelora, sejak dua hari lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali Ahmed Mazdan Jusoh berkata, pihaknya telah memasang dua bendera merah berhampiran muara Tok Bali sebagai menandakan amaran bahaya kepada pengunjung sejak awal bulan ini.
"Malangnya masih ada lagi ibu bapa yang membawa keluarga bermain-main di pergigian pantai berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori ketiga) yang membawa angin timur laut berkelajuan 60 kmsj. dengan ombak mencapai ketinggian lebih 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore sehingga hari ini yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai.
Ahmad Mazdan berkata, pihaknya memantau 24 jam di kawasan sepanjang dua kilometer di pantai berkenaan untuk memberi nasihat kepada pengunjung tentang kemungkinan risiko yang bakal mereka hadapi.
Beliau berkata, ini memandangkan ada yang lemas ketika mandi di pantai berkenaan, sebelum ini.
-- BERNAMA
#angin kencang #cuaca buruk #laut bergelora #Orang ramai #pantai tok bali
;