Orang ramai diminta beri maklum balas tentang gaji minimum
Bernama
April 4, 2014 10:23 MYT
April 4, 2014 10:23 MYT
Majikan, pekerja dan orang ramai diminta memberi maklum balas tentang pelaksanaan dasar gaji minimum sebelum Julai ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem berkata perkara itu penting untuk membolehkan beliau mengemukakan cadangan mengenainya di mesyuarat Majlis Gaji Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan itu.
"Saya minta orang ramai, termasuk majikan dan pekerja memberi cadangan kepada kami tentang bagaimana kami boleh menambah baik gaji minimum," katanya selepas melancarkan 'HR Risk Management Solution' di sini hari ini.
"Semoga, dengan ini, kami boleh pastikan gaji minimum dapat dilaksanakan sepenuhnya dan ia mestilah dalam keadaan menang-menang," katanya.
Memandangkan ketika ini terdapat 645,136 syarikat kecil dan sederhana di Malaysia, maka pelaksanaan sepenuhnya gaji minimum adalah sesuatu yang agak menyulitkan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Riot berkata perusahaaan kecil dan sederhana (SME) patut mengguna pakai amalan sumber manusia yang baik bagi mengurangkan jumlah kes perhubungan perusahaan.
"Antara 2005-2012, 94,879 kes perhubungan perusahaan dirujuk kepada Mahkamah Perhubungan Perusahaan dan 10,500 kes lagi dirujuk pada 2013," katanya.
HR Risk Management Solution adalah kerjasama antara i-HR Consultant Sdn Bhd dan Tune Ins Holdings Bhd.
Ia mengandungi penyediaan pengetahuan dan kandungan tentang sumber manusia melalui portal sumber manusia; penyediaan sokongan nasihat mengenai sumber manusia oleh pengamal pengurusan dan undang-undang mengenai sumber manusia yang berpengalaman dan penyediaan Insurans Liabiliti Pengambilan Pekerja.