Orang ramai dijemput kongsi gambar lama Bukit Bendera sempena Festival Bukit Bendera 2019
Bernama
April 16, 2019 19:04 MYT
April 16, 2019 19:04 MYT
Perbadanan Bukit Bendera (PHC) Pulau Pinang menjemput orang ramai untuk berkongsi gambar-gambar bersejarah Bukit Bendera untuk pameran foto sempena Festival Bukit Bendera 2019 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Julai.
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng berkata pameran itu akan menampilkan koleksi gambar-gambar Bukit Bendera pada masa lalu yang jarang ditemui termasuk gambar lawatan Ratu Elizabeth II ke Bukit Bendera pada 1972.
"Kami mahu semua orang menghayati sejarah silam dan kembali ke masa lalu mengenai keadaan Bukit Bendera ketika itu. Ramai orang menyimpan kenangan indah di masa lalu tentang Bukit Bendera, dan kami mahu mengembalikan kenangan itu," katanya pada sidang media di sini.
Selain pameran, lebih 20 acara dan aktiviti telah disediakan untuk festival selama empat hari itu termasuk ceramah, konsert "Music on the Hill", bengkel fotografi, penerokaan pada malam hari dan berjalan kaki untuk meneroka denai alam semula jadi.
Beliau berkata Festival Bukit Bendera yang terakhir diadakan pada 2018 menerima sambutan yang amat menggalakkan dan ia kemudian dijadikan acara tahunan.
"Semasa Festival Bukit Bendera pada 2018, kami mencatatkan kehadiran kira-kira 9,000 pengunjung bagi menyertai program selama sembilan hari. Kami menyasarkan sekitar 5,000 pengunjung ke festival tahun ini," kata beliau.
Beliau berkata semua aktiviti dan program yang diadakan semasa festival itu boleh disertai secara percuma dan terbuka kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran untuk acara, orang ramai boleh melayari http://www.penanghill.gov.my/phf2019.
-- BERNAMA