Orang ramai digalak guna 'Paparan susulan Ketua Audit Negara 2.0' - Paul

Bernama
April 10, 2015 02:52 MYT
PAUL: Orang ramai digalak guna 'Paparan susulan Ketua Audit Negara 2.0.' -Gambar fail
Orang ramai digalak untuk menggunakan 'Paparan Susulan Ketua Audit Negara 2.0' secara dalam talian yang telah ditambah baik sebagai perantara untuk mengulas semua isu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.
Beliau berkata platform itu kini boleh mengesan kes di tahap lebih kecil, kerana setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara akan disenaraikan di bawah kementerian berkaitan.
"Hasil daripada dialog terbuka ini, cara dan perbincangan isu-isu yang kini dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara akan menjadi lebih membina, dan bukannya disensasikan seperti yang kita saksikan sebelum-sebelum ini.
"Bersama dengan Jabatan Audit Negara, kami berharap kementerian-kementerian akan bertanggungjawab menangani kes-kes yang 'serius' dengan segera," Low dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Selain itu, penambahbaikan dalam bahagian pemerolehan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (Memerangi Rasuah) kini boleh dilihat di laman web tersebut.
Perbincangan sebelum ini dengan orang ramai menerusi sesi Townhall (perbincangan terbuka) pada Jun dan November 2013 telah membawa kepada tindakan tatatertib dimulakan dan dipercepatkan terhadap 330 pegawai yang terlibat dalam 211 kes yang dibangkitkan dalam laporan itu.
#audit #dialog terbuka #Ketua Audit Negara #Paul #Paul Low #pemandu