Orang ramai boleh saksikan Hujan Meteor Delta Aquarids, 28 dan 29 Julai
Astro Awani
Julai 22, 2014 10:03 MYT
Julai 22, 2014 10:03 MYT
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan orang ramai untuk menyaksikan pancuran Hujan Meteor Delta Aquarids pada malam 28 dan 29 Julai 2014, dalam sebuah kenyataan akhbar.
Pancuran ini adalah daripada buruj Aquarius yang dapat dilihat dilangit malam bermula sekitar 10.00 malam sehingga subuh.
Dijangkakan sebanyak 20 juraian meteor dapat disaksikan dalam masa sejam bagi kedua-dua malam tersebut.
Peluang menyaksikan meteor ini adalah tinggi kerana pada ketika itu, langit berada dalam keadaan gelap memandangkan Bulan masih berada di dalam fasa Bulan baru. Namun harus dipastikan kawasan yang cerapan juga tidak berawan dan jauh dari sumber cahaya yang terang.
Sebagai makluman, ANGKASA tidak menganjurkan sebarang program khas bagi pencerapan hujan meteor ini
Tips untuk menyaksikan juraian meteor:
1. Pilih kawasan yang lapang, tidak dilindungi oleh bangunan dan pokok
2. Pilih kawasan yang kurang gangguan pencemaran cahaya
3. Membawa tikar, sleeping bag, ubat nyamuk, makanan & minuman
4. Laporkan kepada pihak berkuasa tentang lokasi keberadaan anda
5. Elakkan dari pergi seorang diri. Sebaiknya pergi secara berkumpulan
6. Sekiranya keadaan langit berawan anda mungkin tidak akan nampak kemunculan juraian meteor tersebut
7. Kawasan yang paling sesuai untuk melihat juraian meteor adalah di kawasan lapang seperti tepian pantai