Orang ramai beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Khalid Ibrahim
Fareez Azman
Ogos 1, 2022 12:00 MYT
Ogos 1, 2022 12:00 MYT
SHAH ALAM: Orang ramai mula hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Negeri Shah Alam mulai jam 11 pagi Isnin.
Jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 11.50 pagi tadi dari Masjid Umar Al Khattab, Bukit Damansara.
Turut hadir, beberapa pimpinan politik antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sesi ziarah dan penghormatan terakhir dibuka kepada orang ramai hingga jam 1 tengah hari ini.
Jenazah Allahyarham kemudian akan disolatkan sekali lagi pada jam 1.40 tengah hari sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada jam 2 petang.
Bekas Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral pada Ahad malam.
Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak, dan dua cucu.