Orang ramai bantu anak paus terdampar di Cherating kembali ke laut

Noraniza Kamsani
Oktober 9, 2017 22:05 MYT
Anak paus diselamatkan oleh orang ramai termasuk pelancong asing. - Sumber foto: Media sosial/Facebook
Penduduk dan pelancong yang berada di Pantai Cherating di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor paus yang terdampar di kawasan sebuah resort kira-kira jam 11 pagi tadi.
Bagaimanapun, paus sepanjang empat meter yang dipercayai tersesat daripada kumpulannya itu berjaya diselamat dan dilepaskan ke laut oleh orang ramai serta pelancong asing.
Menurut seorang kakitangan resort berkenaan yang mahu dikenali sebagai Imran, 32, ikan berkenaan ditemui oleh kakitangan resort itu sebelum pelancong, penduduk kampung dan kakitangan resort berkumpul untuk menyelamatkan mamalia itu.
"Pada mulanya, ingatkan anak paus berkenaan sudah mati, selepas diperiksa, ia masih hidup dan kami beramai-ramai membuat keputusan untuk membantu haiwan itu kembali ke laut.
"Ia mungkin tersesat dari kawanannya sebelum hanyut ke tepi pantai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya mengambil masa lebih 30 minit untuk menyelamatkan haiwan itu sebelum ia kembali berenang dengan selamat ke lautan.
"Saya anggarkan lebih 20 individu termasuk pekerja, pelancong serta penduduk kampung membantu menarik dan menolak ikan paus itu ke dalam air sebelum ia kembali berenang ke tengah lautan," katanya.
#Cherating #laut #Pantai #paus #resort #terdampar
;