Orang politik, pegawai kerajaan mesti bekerjasama pulihkan negara - Wan Azizah

Bernama
Mei 24, 2019 07:00 MYT
Dr Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, bermesra dengan asnaf pada Majlis Iftar Perdana bersama Ketua-ketua Jabatan dan MPKK di Dewan Seri Mutiara Politeknik Seberang Perai, 24 Mei, 2019. - Foto BERNAMA
Orang politik dan pegawai-pegawai Kerajaan perlu bekerjasama memperbaiki keadaan dan menambah baik penyampaian kepada rakyat, dalam usaha memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan baharu kini telah mula membetulkan dan mengemaskini budaya kerja, serta sikap dalam mengendalikan pentadbiran Kerajaan.
"Kita mahu laksanakan 'Systemic Change' atau perubahan yang menyeluruh, tetapi ia menuntut kefahaman, kerjasama dan sokongan semua pihak, khususnya pegawai-pegawai kerajaan dan kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya di Majlis IFTAR Perdana bersama Ketua-ketua Jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini pada Jumaat.
Beliau juga berharap, agar setiap pegawai kerajaan di semua peringkat memainkan peranan dalam memastikan sokongan rakyat mendapat manfaat dari pelbagai program dan inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan.
Dr Wan Azizah berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan kini sedang memperbetulkan pengurusan sistem pentadbiran, kewangan, ekonomi, kehakiman dan banyak lagi, yang telah rosak sepanjang UMNO-BN berkuasa.
"Kita hari ini, cuba menyelesaikan masalah kos sara hidup, mengembalikan prestasi ekonomi negara menjadi 'the new tiger of Asia' serta memperkukuhkan keharmonian masyarakat," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah berkata ekonomi negara berada dalam landasan yang betul untuk pulih, di mana pertumbuhan positif direkodkan pada suku pertama tahun ini.
Katanya Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus minggu lepas mengumumkan mengenai prestasi ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran pasaran 4.3 peratus.
"Pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama ini disokong oleh pemulihan dalam sektor pertanian, terutama pengeluaran minyak sawit mentah dan eksport bersih yang tinggi," katanya.
Tambahnya, Malaysia kekal dalam landasan pertumbuhan kukuh dengan dijangka berkembang antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.
-- BERNAMA
#Bank Negara #ekonomi #kerajaan #kerajaan baharu #minyak #Nor Shamsiah Mohd Yunus #orang politik #Pakatan Harapan #pegawai kerajaan #pemulihan #politik #usaha memulihkan negara #Wan Azizah Wan Ismail
;