Orang Perang tangkas menjejak dalam hutan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 25, 2021 12:01 MYT
Mac 25, 2021 12:01 MYT
PADANG BESAR: Kehandalan, ketangkasan dan kecekapan Orang Asli dalam ilmu perhutanan menjadikan masyarakat itu sebagai pilihan utama untuk diserapkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai anggota unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pasukan ini diasaskan oleh Ketua Jabatan Orang Asli, Richard Noone pada Mei 1956 dengan kekuatan seramai 10 Orang Asli bertujuan menghapuskan ancaman komunis dalam kalangan masyarakat itu di hutan.
Kini, unit yang diletakkan di bawah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) ini masih berfungsi mengekalkan keamanan negara, dan menghindari ancaman musuh terutamanya di hutan, di samping terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan belantara.
Bagi Sarjan Shamsudin Padang, 56 tahun, daripada suku kaum Semai, peluang dapat menyarung uniform PGA memahami tanggungjawab besar menjaga kedaulatan dan keamanan negara tergalas dibahunya.
"Selok belok dalam hutan ini yang kami tahu kerana sebelum ini juga kami memang pernah duduk dalam hutan sebelum pergi berkerja dan sebelum pergi ke pekan.
"Sebelum itu memang hutan tebal, bila hutan tebal, bapa kita bawa saudara. Pengalaman kalau hendak hidup di dalam hutan, macam mana hendak hidupkan unggun api, kalau lapar macam mana hendak kenyang, macam mana hendak cari lauk.
"Semua sudah diajar dan daripada pengalaman itu, apabila kita masuk PGA ini, memudahkan pergerakan kita," katanya.
Antara yang pernah diletakkan dalam unit khas sempadan, Alang A/L Angah, 55, di mana pengalaman lebih 34 tahun dalam pasukan PGA terus tekad menyemai sifat tanggungjawab dan integriti yang tinggi demi maruah diri dan negara.
"Masuk dalam hutan kena ingat jerangkap samar yang pertama, yang kedua berhadapan peluru ini kita tak tahu, jangan kita leka, jangan kita cabar, jangan kita cakap banyak mulut, ikut arahan daripada pegawai kita. Mana pegawai kita dia bagi itulah dia punya cara, undang undang dia. Jangan kita sesuka hati lakukan sesuatu," jelasnya.
Sementara itu bagi Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman, setelah lebih 60 tahun ditubuhkan, Unit Senoi Praaq ini dilatih dengan ilmu pertempuran dan taktik serangan pantas menjadikan ia dianggap legenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan tebal hingga ke sempadan negara Thailand.
Senoi Praaq mempunyai reputasi yang cemerlang dan baik serta digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara kerana mereka ini amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.
"Saya ambil pendekatan supaya mana-mana orang lama yang masih ada lagi dalam Batalion Tiga ini, supaya menurunkan ilmu tu kepada generasi baru agar legasi kecemerlangan anggota lama itu yang begitu mahir dalam hutan tidak putus," ujarnya.
Sempena Hari Polis yang disambut hari ini, mengenang kembali detik kejadian jam 3.10 pagi, 24 November 2020, di mana Sarjan Baharuddin maut manakala Sarjan Norihan Tari cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.
Kedua-dua wira negara itu berjuang bermati-matian demi mempertahan kedaulatan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.