Orang muda perlu keluar dari zon selesa untuk terus maju- Raja Muda Selangor
Rahimah Abdullah
Februari 15, 2017 20:02 MYT
Februari 15, 2017 20:02 MYT
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru golongan muda merebut peluang dan ruang yang ada bagi memajukan diri, keluarga dan negara.
Beliau menegaskan mereka perlu keluar dari zon selesa dengan mencabar diri melakukan perkara baharu.
Menurut Tengku Amir beliau mengakui orang muda akan melalui pelbagai cabaran dalam melakukan perkara baharu berkenaan.
Namun ia akan dapat diatasi jika sikap tidak mudah mengalah sentiasa ada dalam diri mereka.
Perkara berkenaan termasuk menambah lebih ramai kenalan dalam komuniti yang berbilang bangsa dan agama serta sedia untuk belajar bahasa-bahasa baharu.
"Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah keluar dari zon selesa anda. Cari rakan baharu, cabar diri dan lakukan perkara baharu. Ini akan memastikan anda menerokai perkara baharu untuk diri sendiri. Tidak mengapa untuk melakukan semua ini. Kuncinya adalah bagaimana untuk bangun semula," katanya semasa berucap merasmikan Pra-Pelancaran Selangor Youth Community (SAY) IGNITE 2017 di sini hari ini.
Kata Tengku Amir, apabila orang muda mampu melalui kesemua cabaran mereka akan dapat menjadi seseorang yang berjaya seperti yang dicita-citakan.
"Untuk ke hadapan dan kuat, kadang kala keputusan tidak popular dibuat. jika anda menjadi pemimpin popular setiap masa, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam kepimpinan kamu (orang muda) dan dalam perjalanan kamu," tambahnya.
Justeru, beliau berharap melalui program yang dilakukan SAY akan dapat mewujudkan lebih ramai bakat muda yang mampu memberi sumbangan kepada komuniti dan negara.
"Melalui program SAY , ia juga diharap akan mewujudkan komuniti anak muda yang menyerlah, bertenaga dan sentiasa berhubung antara satu sama lain di Selangor," ujarnya.
SAY IGNITE 2017 dijangka diadakan pada April depan bagi menyemai minat dan meningkatkan pembabitan remaja dalam kegiatan berasaskan komuniti seperti seni, budaya, hiburan, keusahawanan, sukan dan kesihatan.
SAY diasaskan Raja Muda Selangor sejak tahun lalu dan merupakan sebuah badan yang bukan berasaskan keuntungan dan politik.