Orang Melayu dan Bumiputera disaran kukuh bersatu demi masa hadapan

Bernama
Oktober 13, 2018 05:00 MYT
Abu Bakar (lima, kiri) dan Adzmi (empat, kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran PKB di Shah Alam pada Sabtu. --fotoBERNAMA
Orang Melayu serta kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak disaran agar terus kukuh bersatu demi memastikan nasib mereka sentiasa terbela pada masa hadapan, kata Anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Abu Bakar Yahya.
Beliau berkata, tanpa penyatuan dan kebersamaan adalah mustahil perubahan serta kemajuan bangsa terbabit dapat dicapai serta selari dengan kaum lain di negara ini.
"Hari ini, kalau bangsa lain lebih maju ekonominya, kita (Melayu dan Bumiputera) tidak boleh salahkan mereka jika kita terus berantakan sehingga ketinggalan dalam pelbagai segi. Sebaliknya kita lah yang perlu berbuat sesuatu untuk membela nasib kita sendiri.
"Jangan jadi seperti kura-kura, bila dicuit, kaki dan kepala terus termasuk (dalam cengkerang). Sebaliknya, kita harus ambil sifat ular tedung, lagi dicuit, lagi tinggi kepalanya. Bukannya mengganas, tapi berjuang (membela nasib bangsa) ikut peraturan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Pertubuhan Kinabalu Bersatu (PKB), di sini pada Sabtu.
PKB yang diwujudkan dan dipengerusikan oleh Adzmi K.K Juatan adalah bagi membantu kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak di sekitar Lembah Klang meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan dan pekerjaan selain melibatkan mereka secara aktif dalam pelbagai aktiviti berpersatuan.
Mengenai PKB, Abu Bakar berkata ia adalah usaha yang cukup bernas supaya nasib anak Bumiputera Sabah dan Sarawak di Lembah Klang akan sentiasa terbela demi menjadikan 'Malaysia Baharu' sebagai sebuah negara yang lebih baik.
Pada majlis yang sama, Abu Bakar menerima 769 borang keanggotaan baharu Bersatu terdiri daripada anak Sabah di sekitar Lembah Klang dan orang perseorangan yang diserahkan oleh Adzmi.
Sementara itu, Adzmi berkata PKB bersedia menjaga kebajikan kaum Bumiputera di kawasan sasaran dengan bertindak sebagai platform penyaluran maklumat untuk pencari pekerjaan selain untuk membantu golongan muda melanjutkan pelajaran.
"Saya difahamkan jumlah anak Sabah di Lembah Klang mencecah puluhan ribu dan ada dalam kalangan mereka tercicir dari segi pelajaran dan ada juga datang mencari kerja tapi tidak berjaya sehingga menjadi gelandangan.
"Setakat Sabtu, jumlah anggota kita masih rendah. Disebabkan itu, saya sarankan lebih ramai anak Sabah serta Sarawak sertai PKB supaya kita dapat bela nasib mereka di sini, kerja dan belajar dengan baik di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu.
-- BERNAMA
#Abu Bakar Yahya #Bersatu #Bumiputera #kemajuan bangsa #Lembah Klang #Malaysia Baharu #Melayu #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Pertubuhan Kinabalu Bersatu #PKB #politik #Sabah #Sarawak
;