“Orang lain gembira… tapi saya trauma bila tiba Aidilfitri”

Shuhada Abdul Kadir
April 10, 2024 10:20 MYT
Aslina tidak mampu menyembunyikan kesedihannya setiap kali mengenang pemergian dua anak lelakinya dalam kemalangan jalan raya termasuk yang terbaharu, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez.
MELAKA TENGAH: "Aidilfitri sudah tiada makna bagi saya apabila satu demi satu nyawa anak saya diambil ketika menjelang Aidilfitri," kata Aslina Abu.
Itu luahan sayu seorang ibu 11 anak selepas dua anak lelakinya meninggalkannya ketika umat Islam sedang ghairah menyambut Aidilfitri.
Suri rumah itu kehilangan dua anak lelakinya masing-masing pada usia 19 tahun akibat terlibat dalam nahas jalan raya pada malam menjelang Syawal pada 30 April 2022 dan terbaharu, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.04 pagi itu, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang terbabas di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai.
Sementara dua tahun lalu, pada 30 April 2022, anak kelima wanita berusia 48 tahun itu,
Muhammad Nasululllah, 19, maut pada malam sehari sebelum Aidilfitri selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta yang membuat pusingan U di garisan berkembar di Pantai Puteri.
"Bukan saya tidak reda, tetapi dua-dua anak lelaki saya ni memang dari kecil saya gelar mereka macam kembar dan walaupun kejadian ini selang dua tahun, tetapi mereka macam berjanji pula nak pergi masa umur 19 tahun.
"Sejak dua tahun lepas memang saya hilang mood untuk beraya mengenangkan seorang anak saya pergi pada pagi Syawal dan kali ini sekali lagi ujian yang sama pada penghujung Ramadan pula,"katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 10, Pantai Kundur, Tanjung Kling, di sini, malam tadi.
Ujar Aslina, lebih memilukan apabila kedua-dua anaknya yang telah meninggal dunia itu ibarat tulang belakangnya malahan arwah Muhammad Amin sempat menciumnya bersungguh-sungguh ketika dia sedang tidur sebelum keluar rumah dan kemalangan semalam.
Semalam, media melaporkan, ibu kepada 11 anak berusia 12 hingga 26 tahun itu gagal mengawal emosi sebaik membuka kain yang menutupi mayat anak ketujuhnya itu sudah tidak lagi bernyawa.
Menerusi video berdurasi 19 saat yang tular, wanita itu meraung meluahkan perasaan sudah dua kali berlaku tragedi malam raya yang meragut nyawa dua anak lelakinya sehingga mengundang sebak orang ramai.
"Saya betul-betul trauma kali ini kerana kedua-duanya pergi tinggalkan saya pada Hari Raya Aidilfitri.
"Tetapi kali ini saya memang mahu kan pembelaan untuk anak saya kerana kedua-dua kejadian ini berlaku atas kesilapan orang lain," tegas Aslina sambil menyeka air mata.
#kemalangan #trauma di Aidilfitri #Hari Raya Aidilfitri #ibu 11 anak
;