'Orang kuat' urus aliran tunai GISB, isteri disambung reman

Sinar Harian
September 29, 2024 13:00 MYT
Individu disyaki berperanan sebagai pengendali aliran tunai dalam rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd bersama isterinya disambung reman lima hari bermula hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Individu disyaki berperanan sebagai pengendali aliran tunai dalam rangkaian GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) bersama isterinya disambung reman lima hari bermula hari ini.
Dua suspek terbabit sebelum itu dibawa menggunakan kenderaan polis sebelum tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 10 pagi.
Kenderaan membawa suspek diiringi motosikal serta kenderaan unit peronda polis (MPV) selain dikawal beberapa anggota bertugas.
Perintah sambung reman terhadap dua suspek masing-masing berumur lingkungan 50-an itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Nurshahira Abdul Salim di bawah Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Kedua-dua suspek berkenaan diwakili peguam Rosli Kamaruddin sebelum ini direman tujuh hari bermula pada 23 September lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan salah seorang individu yang disyaki berperanan sebagai pengendali aliran tunai dalam rangkaian GISB telah ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu itu diberkas dalam Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Beliau berkata, individu terbabit diberkas selepas pihak polis memberkas pemimpin utama GISB di ibu negara, minggu lalu.
Dalam perkembangan sama, 15 anak-anak salah seorang pimpinan GISB diputuskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam untuk dihantar ke rumah perlindungan berasingan yang terletak di Johor dan Cheras, Kuala Lumpur.
Kesemua individu terbabit terdiri daripada sembilan lelaki dan enam perempuan berumur tiga hingga 16 tahun. - Sinar Harian
#pengendali aliran tunai #GISB #reman #Mahkamah Shah Alam
;