"Orang kata saya kaya, tengoklah sendiri simpanan saya berapa" - Tun M
Firdaus Azil
Mei 9, 2021 19:18 MYT
Mei 9, 2021 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta orang yang sering menuduh beliau menggunakan politik untuk mencari kekayaan, melihat sendiri berapa banyak wang dalam simpanannya.
Selain itu, beliau turut menegaskan anak-anaknya tidak mencapai kekayaan yang dimiliki sekarang, sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Bila saya jadi PM, anak saya, saya tak benar buat niaga dalam negara. Tak boleh dapat kontrak kerajaan dan tak boleh masuk politik, saya tak benarkan. Semua orang tahu mana ada pegang jawatan apa.
“Muhkriz tak jadi wakil rakyat. Mokhzani pun tak, Mirzan tak berniaga dalam negara, dia berniaga di Filipina. Marina is not in politic. Saya tak beri pasal, takut orang kata pasal saya PM, bagi pada anak dia,” katanya dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia yang diterbitkan pada Ahad.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menzahirkan kekesalan kerana segala perancangannya untuk negara ini seperti yang terkandung dalam beberapa kapsul yang beliau sendiri tanam, diketepikan begitu sahaja.
Untuk rekod, terdapat empat kapsul yang bekas Perdana Menteri itu tanam – Taman Putra Perdana, Putrajaya; Menara KL, Kuala Lumpur; Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang; Dataran Pahlawan, Melaka; dan Sunway Putra Mall (The Mall), Kuala Lumpur.
“Mereka ketepikan. Saya buat perancangan. Dia tahu apa yang saya buat itu berjaya menjadikan Malaysia dari negara miskin sehingga menjadi Asian Tiger. Turutlah itu, tapi mereka tolak yang itu.
“Bila Pak Lah take over, dia nak beri kaya anak cucu dia. Jadi anak dia beritahu kepada anak saya kononnya dulu anak sayalah kaya. Sekarang ini giliran dia,” katanya lagi.
#Mahathir Mohamad
#Dr Mahathir
#kekayaan
#Perdana Menteri
#kapsul 2020
#politik
#kerajaan
#rakyat
#menteri
#Malaysia
#Kuala Lumpur