"Orang kampung bantu selamatkan" - Mangsa banjir
Hakim Rahman
Disember 20, 2021 10:32 MYT
Disember 20, 2021 10:32 MYT
KETARI: Banjir yang melanda sekurang-kurangnya lapan buah negeri sesuatu yang tidak diduga oleh ramai apatah lagi di kawasan yang tidak pernah dilanda banjir besar sebelum ini.
Menurut salah seorang mangsa Zainal Abidin Baharuddin, 76, menyifatkan banjir yang melanda kawasan itu berpuluh kali ganda lebih teruk daripada banjir kecil Februari lalu sehingga mereka langsung tidak bersedia menghadapi bencana itu.
Mencerita kembali detik-detik bencana itu, Zainal yang merupakan pesara pembantu perubatan hanya mampu menarik nafas lega apabila diselamatkan orang kampung.
“Waktu itu (Sabtu malam) saya terjaga kira-kira pukul 1 pagi kerana terdengar bising-bising di luar rumah dan mula sedar air sudah naik ke paras betis. Bila saya buka pintu rumah saya lihat keadaan depan rumah macam dekat laut.
“Kemudian ada beberapa orang pemuda naik Pajero suruh saya cepat-cepat ambil barang dan bawa berpindah ke PPS (Pusat Penempatan Sementara),” katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Piatu.
Zainal yang tinggal seorang diri hanya sempat mengambil telefon bimbit, dompet dan ubat darah tinggi yang berada berdekatannya ketika itu.
“Kalau saya pusing-pusing lagi cari barang dalam bilik tidur memang tak sempat sebab air naik cepat, dari paras betis ke peha tak sampai 5 minit,” katanya lagi.
PPS SK Bukit Piatu menempatkan kira-kira 1,091 mangsa daripada 284 buah keluarga dari beberapa kawasan antaranya Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Piatu, LKNP Taman Muhibbah, Taman Seroja, Kampung Benus, Kampung Chegar Medang, Kampung Gementi dan kawasan sekitar.
Sementara itu salah seorang lagi mangsa Mohamad Kamal Zulraita, 46, yang tinggal di Kampung Benus, Bentong pula sempat berpindah ke PPS sebelum air mula naik.
“Orang kampung sudah beritahu menerusi WhatsApp dan ada yang ketuk pintu rumah suruh berpindah. Saya tidak kenal pun mereka tapi mereka bersungguh suruh keluar rumah kunci pintu semua untuk pindah.
“Esoknya saya dapat gambar dan video viral tunjuk kawasan rumah saya tu air dah naik sampai bumbung,” katanya yang berpindah ke PPS bersama isteri dan empat orang anak.
Kata mereka, nyawa mereka mungkin melayang jika usaha sama penduduk kampung memindahkan penduduk tidak digerakkan lebih awal.