Orang awam gagalkan cubaan lelaki bunuh diri

Aida Aziz
Disember 22, 2019 09:51 MYT
Anggota bomba dari BBP Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang dipercayai cuba menggantung diri di bawah jambatan. - Foto JBPM Perak
Cubaan seorang lelaki untuk membunuh diri menggunakan tali di bawah jambatan di Jalan Ketoyong di sini, dapat digagalkan hasil bantuan orang awam yang menyedari kejadian itu.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.16 pagi ini.
Pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim mendapat panggilan berhubung kejadian itu lalu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ada seorang lelaki dipercayai telah menggantung diri.
"Lelaki dalam lingkungan umur 35 tahun itu dipercayai mahu bunuh diri dengan menggantungkan diri dengan menggunakan tali di bawah jambatan.
"Bagaimanapun orang awam berjaya menyelamatkan mangsa dengan menurunkannya sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
"Susulan itu, anggota menggunakan papan pengusung untuk membawa mangsa naik ke tebing dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Nadzri Hussin itu tamat pada pukul 8.32 pagi.
Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.


Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019. 

#bunuh diri #gantung diri #jambatan #JBPM Perak #papan pengusung #tali #Tanjung Malim
;