Orang awam diarah jauhi lokasi penemuan 33 tong cecair kimia di Gopeng - Polis

Amirrul Rabbani
November 1, 2022 17:01 MYT
Lokasi pembuangan 33 tong berkenaan terletak di belakang bangunan kedai Kampung Kepayang di Simpang Pulai, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari RTC Gopeng. - Gambar/ JBPM
GOPENG: Polis mengingatkan orang awam supaya tidak mendekati kawasan lapang berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng yang menjadi lokasi pembuangan 33 tong cecair kimia secara haram, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata ini kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang membuat penilaian keselamatan dan mengukur Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tempat kejadian.
“Tempat kejadian telah dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan siasatan yang diketuai JAS Negeri dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
“Pasukan siasatan telah menjumpai 33 tong besi mengandungi 20 peratus sisa bahan kimia berjadual yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya kes tersebut disiasat oleh JAS Perak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Ujarnya lagi orang yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta berhubung dengan JAS Negeri Perak untuk membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 9.59 malam Isnin.
Katanya lokasi pembuangan 33 tong berkenaan terletak di belakang bangunan kedai Kampung Kepayang di Simpang Pulai, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari RTC Gopeng.
Semalam media melaporkan sebanyak 33 tong berisi cecair bahan kimia ditemukan di kawasan lapang berhampiran jalan ke RTC Gopeng .
Jurucakap bomba memaklumkan kesemua tong didapati telah bocor dan setiap tong mengandungi 20 peratus cecair di dalamnya.
“Setiap tong berkenaan mengandungi 20 peratus sisa bahan kimia berjadual sw402/un1760 yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
#Gopeng #cecair kimia #tong sisa kimia #RTC Gopeng
;