Orang Asli warga emas yang dilaporkan hilang mempunyai penyakit lupa
Bernama
November 8, 2015 23:01 MYT
November 8, 2015 23:01 MYT
Seorang warga emas Orang Asli, Abd Hakim@Udang Salok, 61, yang hilang dalam hutan selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lebir, Aring 5 di sini, sejak 30 Oktober lepas mempunyai penyakit pelupa.
Menantunya, Sariah Adis, 27, berkata bapa mertuanya itu mungkin tidak menemui jalan keluar selepas masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan untuk mencari akar kayu dan ikan sungai.
"Bapa memang minat cari akar kayu dan ikan, tapi tidak mahu ditemani sesiapapun termasuk anak sendiri kerana suka buat kerja seorang diri walaupun mempunyai sikap pelupa.
"Sejak isterinya meninggal lebih lima tahun lalu, bapa amat kesunyian tinggal di rumah walaupun masih mempunyai seorang lagi anak bongsu menemaninya di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lebir, Aring 5 di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian 10 Oktober lepas, Abdul Hakim @ Udang keluar dari rumah dengan membawa sekilogram tepung gandum dan khemah kecil untuk mencari akar kayu dan ikan di kawasan hutan berhampiran.
Kejadian itu disedari anak bongsu mangsa, Mat Shariff, 18, sebelum memberitahu kepada abangnya, Jally, 28, mengenai bapa mereka yang tidak pulang ke rumah setelah tiga hari berada di hutan sebelum membuat laporan di Balai Polis Paloh dua hari lepas.
Sariah berkata ketika Abd Hakim @ Udang hendak keluar ke hutan pada 31 Oktober itu, mangsa sempat berkata kepada Mat Shariff untuk berada hanya semalaman di hutan.
"Kebiasaan pun, paling lama dia masuk hutan dua hingga tiga malam dengan membawa bersama beras, periuk dan beberapa perkakas lain, tapi kali ini hanya membawa sekilo(gram) tepung gandum sahaja.
"Saya juga kerap menegurnya supaya berhentilah kerja mencari akar kayu dan ikan kerana tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku terhadapnya kerana telah berusia, namun tidak dihiraukannya," katanya.
"Saya dan empat enggota kemudiannya bergegas ke tempat kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi yang lain.
"Kita melancar gerakan mencari mangsa bermula dari kawasan ladang sawit berhampiran, namun sehingga petang ini mangsa masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi.