Orang Asli teruskan sekatan baharu

Astro Awani
Disember 12, 2016 17:10 MYT
Pada 29 November lalu, 54 penduduk Orang Asli ditahan dalam operasi merobohkan tiga sekatan di kawasan Hutan Simpan Balah dan Hutan Simpan Perias oleh Jabatan Perhutanan Kelantan. - foto BERNAMA
Selepas hampir dua minggu, insiden 54 Orang Asli ditangkap kerana membuat sekatan di tiga lokasi kawasan Hutan Simpan, Gua Musang, Kelantan, mereka semakin bersemangat dan kembali bangkit membina sekatan baharu.
Masyarakat Orang Asli suku Temiar telah mendirikan halangan baharu bermula Sabtu lalu di tiga lokasi sama selepas sekatan mereka dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan pada 29 November lalu.
Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, tiga lokasi tersebut ialah di Simpang Petei di Pos Tohoi, Kelawong, Pos Pasik dan Betau Cawas berhampiran Pos Bihai.
BACA: Halang kerja pembinaan di Gua Musang, 47 Orang Asli ditahan reman
BACA: 16 Orang Asli ditahan dalam operasi roboh sekatan balak di Gua Musang
“Penduduk Orang Asli juga akan terus mengadakan sekatan terhadap pembalak sekiranya kerajaan negeri masih tidak memberi kata putus mengenai tuntutan tanah adat mereka sebelum ini,” tambah beliau.
Salah seorang penduduk Orang Asli dikenali sebagai Jamil Gabong juga meluahkan perasaan beliau.
“Kami akan turunkan sekatan macam biasa kerana kami rasa semua ini bukan berpunca dari hasutan, kami buat hanya untuk menuntut hak Orang Asli dan tanah yang kami duduki sejak kami duduki dari turun temurun lagi.”
Pada 29 November lalu, 54 penduduk Orang Asli telah ditahan dalam operasi merobohkan tiga sekatan di kawasan Hutan Simpan Balah dan Hutan Simpan Perias oleh Jabatan Perhutanan Kelantan.
Kesemua mereka dibebaskan selepas keterangan diambil.
#Hak orang Asli #Kelantan #Orang Asli #sekatan
;