Orang Asli Temiar mohon naik taraf rumah buluh
Bernama
Januari 31, 2024 15:34 MYT
Januari 31, 2024 15:34 MYT
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor memohon pertimbangan kerajaan untuk menambah bilangan rumah berstruktur batu menggantikan rumah buluh yang didiami mereka ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor Dendi Johari berkata setakat ini hanya sebilangan penduduk mendapat kemudahan kediaman menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) yang dibina di 11 kampung di pos terbabit.
Dendi berkata lebih banyak bantuan perumahan diperlukan bagi menampung pertambahan bilangan penduduk setiap tahun dan pada masa yang sama menjadi kediaman lebih baik untuk diwarisi generasi akan datang.
"Kebanyakan rumah penduduk dibina sendiri menggunakan kayu dan buluh, namun ia mudah rosak dan memerlukan penyelenggaraan. Justeru saya berharap akan ada lebih banyak program bantuan perumahan kepada Orang Asli di pedalaman dilaksanakan tahun ini.
"Setakat ini kira-kira 86 rumah baharu diperlukan untuk menggantikan rumah penduduk di Kampung Sedal, Kampung Penad, Kampung Ceranok, Kampung Dandut, Kampung Jader Lama, Kampung Jader Baru, Kampung Rekom, Kampung Simpor dan Kampung Kledang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penduduk Kampung Jader Lama Ami Along, 59, berkata masih ramai penduduk di kampungnya menantikan PBR bagi membolehkan mereka mendapat kediaman lebih selesa serta lengkap dengan bilik dan tandas.
"Walaupun tinggal di rumah buluh adalah warisan nenek moyang dan menjadi tradisi kami, saya rasa anak dan cucu perlu hidup dalam suasana rumah lebih baik serta selesa.
"Saya minta pihak kerajaan untuk mempertimbangkan keperluan kami walaupun berada di pedalaman," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim mengakui kewajaran untuk menaik taraf kediaman Orang Asli di pos pedalaman dengan menambah bilangan rumah melalui PBR.
Beliau berkata keperluan infrastruktur pernah dikemukakan oleh penghulu dan Tok Batin Orang Asli Gua Musang kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika kunjungan beliau ke Gua Musang, Oktober lepas.
-- BERNAMA