Orang Asli sertai kursus dron, perkasa ekopelancongan guna video kualiti tinggi
Aida Aziz
Mei 24, 2023 07:40 MYT
Mei 24, 2023 07:40 MYT
SUNGAI SIPUT: Kemahiran serta pengetahuan tentang dron penting dalam memastikan video yang dihasilkan berkualiti tinggi di samping mempromosi keunikan alam semula jadi di satu-satu kawasan.
Menyedari hakikat tersebut, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh menganjurkan kursus jangka pendek 'Program TVET Insitu-Mudahnya Terbangkan Dron Ekopelancongan Orang Asli Tahun 2023' pada 20-21 Mei di Kampung Orang Asli Beswok, di sini.
Lebih menarik apabila kursus yang dianjurkan ILP Ipoh dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak itu membabitkan 12 orang peserta Orang Asli dari pelbagai kampung di sekitar Perak.
Ia termasuk Kampung Beswok, Kampung Yum, Lata Kinjang,Tonggang dan Sungai Tiang.
Menurut Pengarah JAKOA Perak, Hairulnizam Abd Rahman, objektif kursus itu adalah untuk memberikan kemahiran penerbangan dron dengan menawarkan latihan teori, amali serta kemahiran penyuntingan video dan muzik bagi mempromosi pelancongan di perkampungan Orang Asli.
Katanya lagi, peserta turut diberi pendedahan meliputi pengetahuan asas mengenai teknologi dron dan kemahiran penerbangan, termasuk keselamatan serta peraturan berkaitan.
"Video promosi berkualiti tinggi menjadi elemen penting dalam mempromosi daya tarikan dan keunikan destinasi pelancongan Orang Asli yang berpusat pada keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Latihan amali memberi peluang kepada peserta untuk mengendalikan dron secara langsung, memahami fungsi kawalan jarak jauh, fotografi dan videografi udara selain melaksanakan misi penerbangan dengan selamat dan cekap di persekitaran sebenar.
"Selain itu, peserta juga diberikan pendedahan mengenai kemahiran membuat suntingan video dan muzik menggunakan perisian dan aplikasi yang sesuai," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dalam pada itu, Hairulnizam berkata tenaga pengajar yang terbabit dalam kursus jtu merupakan mereka yang pakar dalam bidang dron serta media kreatif.
"Tenaga pengajar yang terlibat dalam kursus ini ialah Ismaizaidi Ismail, Ts. Rhoma Erma Zaini, Azhar Md Saad, dan Saiful Buhari Ali Muslim dari ILP Ipoh.
"Kursus dua hari ini secara proaktif dapat meningkatkan kemahiran serta memberikan tunjuk ajar interaktif dan komprehensif kepada peserta.
"Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ini satu langkah penting dalam memperkenal teknologi terkini kepada komuniti Orang Asli serta memberi mereka peluang setara dalam membangunkan industri pelancongan," katanya lagi.
Beliau turut berharap menerusi usaha berterusan dan kolaborasi erat antara institusi pendidikan, pihak berkuasa, dan komuniti, pelancongan Orang Asli di Perak terus berkembang dan menjadi destinasi yang dihargai di peringkat tempatan dan global.