Orang Asli pilih pondok buluh, tidak tahan cuaca panas
Muhafandi Muhamad
Mei 24, 2023 09:15 MYT
Mei 24, 2023 09:15 MYT
GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi serta Kampung Aring 5, Pos Lebir di Gua Musang, Kelantan memilih untuk tinggal dalam pondok buluh ketika musim cuaca panas.
Biarpun kerajaan telah menyediakan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), penduduk itu memilih pondok kayu atau buluh ketika ini kerana keadaannya lebih sejuk.
Menurut penduduk Orang Asli, sejak lebih sebulan lalu sebahagian besar tinggal dalam pondok buluh yang dibina berhampiran rumah kekal mereka.
Ini kerana mereka tidak boleh bertahan dengan cuaca panas melampau.
Seorang penduduk, Ghani Alang berkata, mereka juga terpaksa mengehadkan aktiviti di kawasan kebun dan mengawal pergerakan anak atas faktor sama.
"Cuaca panas ini memang saya tak tahanlah. Kita buat rumah buluh. Waktu malam baru balik sini. Memang tak tahanlah," katanya.
Bagi Alias Panjang pula, mereka lebih gemar tinggal di dalam hutan kerana suasana lebih sejuk dan menyegarkan.
"Kita suka duduk di hutan sebab lebih sejuk. Cuaca terlalu panas sekarang. Dulu tak berapa panas," katanya.
Pos Lebir dihuni oleh penduduk Orang Asli suku kaum Bateq dan Mendriq.