Orang Asli maut dipijak gajah liar
Siti Nur Aqilla Omar
Februari 11, 2021 13:46 MYT
Februari 11, 2021 13:46 MYT
MERSING: Seorang lelaki Orang Asli maut disyaki dipijak seekor gajah liar ketika memancing ikan bersama anaknya di Hutan Simpan Sungai Teresap, Endau, di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Din Janja, 61, tinggal di Kampung Orang Asli Labong, Endau.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian pada pukul 12.15 tengah hari sebelum lima kakitangan Perhilitan bergegas ke Klinik Kesihatan Endau dan dimaklumkan warga emas itu mati disyaki dipijak gajah.
Siasatan awal mendapati mangsa dan anaknya, Endra Din,18, memasuki Hutan Simpan Teresap sekitar pukul 8.30 pagi untuk memancing ikan.
"Dalam perjalanan mereka telah terserempak dengan seekor gajah yang secara tiba-tiba telah menyerang mereka. Endra sempat melarikan diri tetapi ayahnya telah diserang oleh gajah tersebut. Anak mangsa juga telah mendapatkan bantuan penduduk kampung lebih kurang pukul 10 pagi,” kata Salman dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Salman berkata, mangsa jga telah dibawa keluar dari hutan dua jam kemudian dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran.
Katanya, proses bedah siasat ke atas mangsa akan diadakan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Beliau juga memaklumkan, tinjauan kakitangan Perhilitan Mersing di lokasi kejadian bersama wakil Orang Asli juga mengesahkan terdapat kesan tapak kaki disyaki seekor gajah jantan.
"Juga terdapat kesan tempat tidur gajah dan kesan pokok tumbang baharu disyaki dilakukan oleh gajah tersebut.
"Pihak jabatan menasihatkan agar orang ramai yg berhasrat keluar memancing ke dalam hutan untuk lebih berhati-hati dan memastikan kawasan tersebut selamat untukk dimasuki. Kawasan serangan merupakan kawasan keliaran gajah-gajah liar di kawasan tersebut," katanya lagi.
#Orang Asli
#maut dipijak gajah liar
#gajah liar
#Hutan Simpan Sungai Teresap
#Endau
#Mersing
#Johor
#Kampung Orang Asli Labong
#gajah jantan