GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di daerah ini berharap sistem bancian iDamak yang dibangunkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dapat membantu kerajaan dalam mengenal pasti pembangunan dan kemajuan infrastruktur serta prasarana yang diperlukan mereka.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata data yang terkumpul dalam iDamak dapat berfungsi sebagai penunjuk arah kepada kerajaan untuk menentukan hala tuju generasi masyarakat Orang Asli dan masa depan mereka.

"Dengan adanya sistem ini saya berpendapat kerajaan akan dapat melihat kepada penduduk yang amat memerlukan bantuan dan keperluan di negeri Kelantan.

"Besar harapan saya supaya maklumat yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk pembangunan dan kemajuan untuk kami, contohnya keperluan asas seperti jalan perhubungan untuk keselesaan penduduk di kawasan pedalaman dapat disegerakan.

"Saya amat berharap kerajaan dapat merealisasikan keperluan dan kehendak rakyat khususnya penduduk di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Bihai Lama, Nari Abus, 47, berkata setiap tahun mereka melakukan pendaftaran dan mengemas kini data dalam sistem iDamak yang sedia ada dengan pihak JAKOA.

Beliau berkata kebiasaannya mereka akan menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) sebagai pemudah cara antara mereka dan pihak jabatan disebabkan faktor tidak celik teknologi.

"Perkongsian maklumat biasanya dibuat melalui banci penduduk yang didaftarkan setiap tahun.

"Pendaftaran pula melalui JPKKOA selaku wakil bagi setiap penempatan Orang Asli di Gua Musang," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Unit Data Jakoa Kelantan berkata sehingga Jun lepas, sejumlah 4,942 data Ketua Isi Rumah (KIR) bersamaan 13,964 Ahli Isi Rumah meliputi 119 perkampungan Orang Asli didaftarkan dalam iDamak menjadikan jumlah pendaftaran sebanyak 18,906.

Beliau berkata iDamak merupakan sistem pengurusan maklumat berkomputer yang berperanan mengurus maklumat Orang Asli secara bersepadu oleh JAKOA.

Menurutnya melalui sistem itu jabatan berkenaan dapat menguruskan maklumat bancian, melaksanakan perkhidmatan dalam talian termasuk pemprosesan permohonan dan pelaksanaan pelbagai sektor keperluan, serta menjalankan analisis ke atas data yang terkumpul bagi mengkaji pembangunan dan kemajuan sewajarnya untuk masyarakat Orang Asli.

-- BERNAMA