Orang Asli 'gadai nyawa' kongsi jalan dengan lori balak

Bernama
Ogos 10, 2024 20:37 MYT
Lebih 10,000 penduduk Orang Asli terpaksa bergadai nyawa apabila berkongsi jalan perhubungan utama mereka dengan kenderaan lori balak yang membawa muatan sejak 40 tahun lalu. - Bernama
GUA MUSANG: Lebih 10,000 penduduk Orang Asli yang tinggal di lima pos pedalaman di daerah ini terpaksa bergadai nyawa sejak 40 tahun lepas, apabila terpaksa berkongsi jalan dengan lori balak.
Penduduk Ibrahim Marijah, 67, berkata setiap hari Orang Asli dari beberapa penempatan termasuk Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Tohoi berdepan risiko kemalangan kerana perlu berselisih dengan kenderaan berat itu ketika dalam perjalanan.
Ibrahim berkata semua pengguna jalan utama itu perlu menempuh lebih 70 kilometer perjalanan mengikut laluan tanah merah untuk keluar masuk ke bandar.
"Kerajaan negeri sudah lama memerintah negeri ini malah mendapat hasil yang banyak dari tempat kami ini. Kami Orang Asli di sini juga inginkan sedikit daripada hasil yang diperoleh itu untuk dibelanjakan bagi keperluan pembangunan dan kemudahan kami di sini.
"Dari dulu sehingga kini kami sangat menderita apabila menggunakan jalan ini lebih-lebih lagi ketika berselisih dengan lori. Keadaan jalan yang sempit juga membuatkan kami berasa keselamatan menjadi terancam," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bawek, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, hari ini.
Seorang lagi penduduk Rozi Asod, 50, berkata permukaan jalan tanah merah itu turut mengalami kerosakan disebabkan bebanan berat yang dibawa oleh lori-lori berkenaan.
"Jalan menjadi berlubang kecil dan besar, malah apabila tiba musim hujan laluan ini menjadi becak dan semakin teruk sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk setempat RPS Kuala Betis dan mereka yang tinggal di pedalaman.
"Inilah satu-satunya jalan perhubungan untuk kami gunakan bagi melakukan urusan harian dan mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.
Senada, Angano Kamis, 43, berkata masalah jalan perhubungan itu telah dihadapi penduduk sejak 1980-an lagi.
"Dari dulu sampai sekarang masalah ini tidak pernah selesai dan jalan ini selalu digunakan lori balak.
"Sebelum ini pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada juga beberapa kali membaiki jalan ini tetapi tidak meliputi keseluruhan jalan mungkin kerana beberapa kawasan tidak berada di bawah kendalian mereka," katanya
Tambah Angano, setakat ini syarikat pembalakan tidak pernah mengadakan perbincangan dengan wakil masyarakat mereka berhubung inisiatif untuk membaiki jalan terbabit.
-- BERNAMA
#Orang Asli #Gua Musang #risiko kemalangan #lori balak
;