SETIAP langkah kupercepat lagi agar tidak ketinggalan. Figura kecil yang berjalan kaki ayam di hadapan begitu lincah dan pantas pergerakannya, langsung tidak menghiraukan keadaan berlumpur di sekitarnya.
Selang beberapa langkah, kakiku tergelincir dan hampir terjerumus ke dalam tanah berlumpur itu. “Hati-hati, licin..” kata si anak kecil itu yang hanya mampu tertawa melihat gelagat orang bandar ini.
“Srapppp…” Akhirnya kaki kananku terbenam dalam lumpur sehingga ke paras lutut. Selepas beberapa minit berjaya menarik keluar kaki, kasut pula yang tersangkut dalam lumpur.
“Bila berjalan perlu imbangi berat kaki supaya tidak menekan ke bawah dan langkah itu haruslah ‘ringan’ seperti cara adik ini berjalan, tengok, relaks saja,” ujar Shaq Koyoq yang berada di hadapan memimpin jalan bagi kami sekumpulan ke dalam hutan paya gambut itu.
Inilah aktiviti yang dilakukan Shaq atau nama sebenar, Shahar Koyoq, 35, hampir setiap hujung minggu.
Artis Orang Asli berketurunan suku Temuan ini suka membawa rakan-rakan dan kenalannya dari Kuala Lumpur bagi “menjenguk” kampung halamannya di Perkampungan Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor untuk merasai pengalaman bersama dengan alam.
“Saya juga selalu membawa rakan-rakan artis seni untuk masuk hutan untuk mendapat inspirasi hasil karya mereka. Selalunya mereka suka cara sebegini kerana sukar untuk mencari pengalaman seperti ini di bandar,” katanya.
Aktiviti mingguan itu juga dirakam dan dimuat naik menerusi akaun YouTube milik Shaq untuk tontonan rakan-rakan dan orang ramai.
Misi kali ini untuk mencari ‘ikan betta’ iaitu sejenis ikan laga yang spesiesnya hanya unik di kawasan hutan di perkampungannya itu.
Difahamkan hari sebelumnya hujan, maka paras air sungai sedikit tinggi dan banyak ikan yang dapat ditangkap.
Kami sekumpulan juga ditemani Tok Batin dan keluarganya, termasuk adik kecil tadi yang tidak mahu melepaskan peluang menangkap ikan yang unik ini.
Shaq tidak melepaskan peluang merakam telatah kami sekumpulan cuba menangkap ikan menggunakan jaring ikan celup.
Ikan kecil berwarna-warni itu berenang dalam bekas yang digunakan untuk menyimpannya seketika untuk tujuan bergambar sebelum ia dilepaskan semula ke dalam sungai.
Sepanjang perjalanan, Shaq bercerita tentang jenis-jenis pokok dan tumbuhan yang ditemui secara semula jadi di hutan itu.
“Ini ialah untuk sakit-sakit kalau kena gigit lipan ke atau kena gigit ular. Boleh digunakan untuk merawat luka,” katanya sambil merujuk kepada sebatang pokok dedaun yang renek.
Beberapa langkah ke hadapan lagi, Shaq memetik tumbuhan lain dan mula mengunyahnya.
“Cuba rasa yang ini,” katanya sambil menghulurkan dedaun yang baru dipetiknya itu.
Rasanya segar seperti pudina tetapi tidak sepahit dan mempunyai tekstur yang rangup seperti daun salad.
“Bagaimana kamu tahu semua ini?” saya bertanya kepada Shaq kerana cukup kagum dengan pengetahuannya tentang alam.
“Memang sejak kecil, kami diajar ibu bapa kami tentang semua ini. Orang Asli banyak bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan dan ubat-ubatan, jadi penting untuk menuruni ilmu ini kepada anak-anak kami,” ujarnya.
Shaq juga sempat bercerita bahawa ketika pandemik COVID-19, hutanlah satu-satunya sumber kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.
“Ketika PKP dikuatkuasakan, penduduk kampung tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan lalu kami bergantung seratus peratus kepada hasil hutan untuk sumber makanan,” katanya lagi.
Ujar Shaq, bagi masyarakat Orang Asli, hutan bukan hanya sekadar komoditi, ia juga melambangkan jati diri dan identiti masyarakat itu.
Orang Asli warisan penjaga alam makin terhakis
Terdapat dua jenis hutan berdekatan kampung halaman Shaq iaitu hutan bukit dan hutan paya gambut. Kedua-duanya berada dalam lingkungan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Selangor.
Menurut Tok Batin Kampung Busut Baru, Sari Bin Senin, 58 , cuaca panas yang tidak menentu telah mengakibatkan hasil hutan penduduk Orang Asli sedikit terjejas.
Masyarakat Orang Asli bergantung kepada hutan untuk sumber makanan dan kehidupan.
“Ya cuaca panas ini memang memberi kesan. Kalau nak mencari herba sekarang memang kurang subur.
“Kalau dulu memang ada banyak sebab keadaan hutan lebih sejuk jadi dia boleh tumbuh subur seperti untuk khasiat herba dan makanan memang subur dan cantik. Sekarang ini memang terkesan lah.
“Contoh seperti herba untuk wanita lepas bersalin dan kalau untuk makanan pula, pokok nibung sudah mula berkurangan, kena pergi jauh sikit atau tanah berbukit baru ada pokok,” katanya.
Tambah Sari, perubahan dalam cuaca ini telah mula dirasainya sejak 20 tahun lalu.
Baginya, inilah yang difahaminya dengan terma ‘perubahan iklim’.
“Pada pemikiran saya, perubahan iklim itu adalah dari segi pemanasan, mungkin sebab kami selalu berdekatan dengan hutan boleh rasa lebih dingin tetapi dekat luar memang panas.
“Kalau hutan dimusnahkan memang panas lah. Iklim sekarang pun mula panas di seluruh dunia. Jadi kita perlu ada hutan untuk mengimbangi suhu bumi,” katanya lagi.
Secara umumnya, masyarakat Orang Asli memiliki pelbagai jenis adat budaya, pantang larang, kepercayaan, amalan kesihatan dan nilai hidup mereka yang unik dan tersendiri.
Mereka mengamalkan nilai hidup secara harmoni antara sesama insan dan alam persekitaran semula jadi.
Menurut Illi Nadiah Dzulfakar, Pengasas Klima Action Malaysia (KAMY), akibat perubahan iklim, masyarakat Orang Asli dikhuatiri tidak lagi berupaya bergantung sepenuhnya kepada ilmu pengetahuan pribumi mereka untuk kelangsungan hidup.
“Komuniti Orang Asli bergantung kepada ilmu tradisi tentang cuaca dan alam sekitar yang diwarisi sejak turun-temurun. Namun kerana cuaca sekarang sangat tidak menentu, mereka mungkin tidak dapat lagi menggunakan ilmu yang sedia ada.”
“Perubahan cuaca dan persekitaran mereka berlaku dengan begitu pantas menyebabkan golongan ini tidak berupaya adaptasi kepada situasi semasa. Lama-kelamaan ilmu pribumi ini juga akan ‘hilang’ kerana mereka tidak dapat menggunakannya lagi,” katanya.
Bagi menyelamatkan tumbuh-tumbuhan herba yang telah digunakan komuniti orang asli sejak turun-temurun, Tok Batin dan orang-orang kampungnya cuba menanam semai dari hutan di halaman rumah.
Anak pokok tumbuhan yang dijumpai di hutan paya gambut akan disemai dengan harapan tanaman itu dapat kekal tumbuh segar.
Hutan paya gambut, simpanan karbon terpenting
Hutan paya gambut sering kali tidak dihargai. Jarang kita membaca tentang peranan dan kelebihan ekosistem hutan ini khususnya dalam media massa.
Namun, ‘taman permainan’ Shaq inilah simpanan karbon yang penting untuk planet kita dan merupakan eleman penting dalam menangani pemanasan global.
Biarpun hutan paya gambut hanya meliputi tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, namun ia bertanggungjawab menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding hutan jenis lain.
Justeru, keupayaan hutan ini menyerap karbon dioksida membantu memperlahankan proses pemanasan global dengan menstabilkan iklim.
Kemusnahan hutan paya gambut mampu mengakibatkan jutaan tan metrik karbon dioksida yang diserap hutan berkenaan dibebaskan kembali ke atmosfera.
Kebakaran hutan di Borneo dan Sumatra pada sekitar 1997-1998 umpamanya dilaporkan telah membebaskan sehingga 2.5 bilion tan karbon atau bersamaan dengan 13–40 peratus pelepasan karbon setahun.
Selain menyimpan karbon, hutan paya gambut juga bertindak sebagai span bagi menakung air dan menghalang banjir ketika hujan dan menjadi sumber air sewaktu musim kering atau kemarau.
Namun ciri-ciri tanah di hutan ini juga menyebabkan ia amat sukar dipadamkan sekiranya berlaku kebakaran.
Tanah gambut yang terdiri dari bahan organik dan tumbuhan yang tidak reput seperti batang, dahan, ranting, akar dan dedaun menyebabkannya mudah terbakar jika paras air dalam hutan paya berkurangan.
Kebakaran akan melepaskan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan nitrous oksida (N2O) yang cukup banyak ke udara sekali gus menyebabkan pemanasan global semakin teruk.
Komuniti Orang Asli pantau kebakaran hutan paya
Hampir setiap tahun pasti sering membaca berita tentang kebakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu teruk khususnya pada musim kemarau.
Bagaimanapun menurut Pengurus Program Perhutanan dan Pesisir Pantai, Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Nagarajan Rengasamy, kebanyakan insiden berpunca daripada manusia sama ada kebakaran secara sengaja atau tidak sengaja.
“Kebanyakan kebakaran ini disebabkan perbuatan manusia sama ada besar atau kecil bergantung kepada lokasi dan bahan bakar.
“Di kebanyakan kawasan hutan paya, ekoran lokasinya di pesisir pantai, ombak dan angin akan menolak kebakaran lebih ke dalam. Dan yang pasti faktor cuaca akan memburukkan keadaan.
“Jika cuaca panas seperti kemarau, maka lebih cepat ia merebak dan sukar untuk memadam kebakaran,” katanya.
Nagarajan menarik perhatian hasil kajian dilakukan GEC terhadap kebakaran hutan paya di Selangor sejak 2014.
“Selalu orang suka menuding jari terhadap masyarakat Orang Asli sebagai penyebab kebakaran hutan kerana mereka mengamalkan pertanian tebang dan bakar.
“Namun hasil kajian kami mendapati kewujudan tali air di hutan paya gambut telah mengalirkan air keluar dari hutan berkenaan untuk tujuan pertanian dan pembangunan.
“Penurunan paras air melalui tali air, parit dan longkang menjadikan tanah gambut menjadi kering terutama di permukaan yang meninggikan risiko kebakaran,” katanya.
Ujarnya, hanya satu puntung rokok mampu menyebabkan seluruh hutan itu terbakar.
Justeru, GEC telah memulakan inisiatif bersama-sama penduduk kampung orang asli bagi memantau kebakaran hutan di sekitar hutan paya gambut di Kampung Orang Asli Busut Baru dan beberapa kampung lain yang berada dalam berhampiran hutan paya gambut Kuala Lumpur Utara.
Menerusi program bekenaan, Sari dan beberapa orang kampung yang membentuk Sahabat Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu bertindak meronda sekeliling kawasan hutan paya itu selang beberapa hari seminggu bagi memantau sebarang aktiviti pembakaran.
Penduduk kampung turut dilatih memadam kebakaran kecil dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Langat selain didedahkan kepada pengurusan hutan paya gambut termasuk aspek hidrologi, pencegahan dan kawalan kebakaran.
Penduduk kampung juga terlibat dalam aktiviti menanam anak-anak pokok bagi memulihara ekosistem hutan dan mengimbangi kesan daripada perubahan iklim.
Nagarajan percaya kejayaan program berkenaan adalah hasil kerjasama NGO, komuniti setempat dan pihak berkuasa yang bertungkus lumus memelihara hutan paya terakhir Selangor itu.
Ujarnya, sehingga pelaksanaan program itu sejak 2014, tiada lagi kebakaran besar dilaporkan berlaku di kawasan hutan simpan berkenaan kecuali pada 2017 akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Malah rata-rata kawasan hutan yang terjejas akibat kebakaran sebelum ini telah berjaya dipulihkan penduduk kampung dengan aktiviti penanaman pokok.
Lebih 10,000 pokok berjaya ditanam dan 300 hektar hutan berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun menerusi program bersama GEC.
Namun, semua usaha itu bakal lesap ekoran laporan bahawa hutan paya gambut yang penting itu bakal dinyahwartakan daripada senarai Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk memberi laluan kepada pembangunan.
IKUTI BAHAGIAN KEDUA LAPORAN INI : Selamatkan hutan paya gambut terakhir di Selangor
* Tan Su Lin ialah seorang penulis yang juga advokasi alam sekitar, pencinta laut dan penggemar selam skuba.
** Sekalung penghargaan kepada Projek Dialog kerana telah membantu menjayakan laporan ini.
*** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian sidang pengarang Astro AWANI.
Tan Su Lin
Sat Nov 07 2020
Masyarakat Orang Asli yang membentuk Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara. - GEC/Facebook
Hujan lebat berterusan tahap bahaya di Terengganu, Pahang hingga Jumaat ini
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang hingga Jumaat ini.
[TERKINI] Ucapan PM Anwar di Universiti Kebangsaan Seoul
Ikuti langsung ucapan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk "Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia" di Universiti Kebangsaan Seoul.
#AWANInews
#AWANInews
Lebih 120,000 ekspatriat berada di Malaysia, sumbang 4.8 peratus daripada KDNK
Sebanyak 120,183 pegawai ekspatriat berada di Malaysia setakat 31 Okt lepas.
Kim Swee jurulatih baharu kelab Indonesia, Persis Solo
Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu sebuah kelab bola sepak dalam Liga Indonesia, Persis Solo.
Pemandu mabuk sebabkan kematian suami isteri didakwa
Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri pada 16 November lalu.
Pastor didakwa bunuh, simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku
Seorang pastor didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan membunuhseterusnya menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk beku tiga tahun lalu.
Peningkatan astronomikal harga rumah di bandar tidak tercapai akal
Jelas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, satu unit kondominium 1,000 kaki bernilai RM500,000 justeru GLC berkaitan dicadangkan bina rumah mampu milik kerana tanggungjawab terhadap rakyat dan bukan meraih keuntungan semata-mata.
85 peratus penjawat awam telah tandatangan opsyen SSPA - KSN
Sebanyak 85 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam telah menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini.
Tunggakan bil elektrik cecah RM1.01 bilion - Akmal Nasir
Jumlah tunggakan bil elektrik di seluruh negara melonjak kepada RM 1.08 billion setakat September 2024, melibatkan 627,491 akaun yang bekalannya telah dipotong, menurut statistik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
AWANI Ringkas: Pastor didakwa bunuh, simpan mayat ibu
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Bomba Perak giat cari lelaki Orang Asli hilang ketika memancing
JBPM Perak sedang giat mencari seorang lelaki Orang Asli yang dipercayai hilang selepas keluar memancing di Sungai Tumboh, Kampung Gajah, dekat sini sejak petang semalam.
Orang Asli tiada geran tanah mahu jual kelapa sawit perlu rujuk kerajaan negeri
Masyarakat Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen perlu merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing.
Gombak-Hulu Langat Geopark bantu jayakan Tahun Melawat Selangor 2025 - Amirudin
Perisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor akan menjadi antara batu loncatan bagi mempromosikan tarikan pelancongan.
MTL: JAKOA siap sedia hadapi banjir
JAKOA sudah bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang bermula hari ini hingga Mac tahun depan bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan berisiko terjejas banjir dapat diberi bantuan segera.
Hampir 200 keluarga Orang Asli Pos Belatim diancam gajah liar
Hampir 200 keluarga Orang Asli di Pos Belatim hidup dalam kebimbangan selepas kehadiran seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan penempatan mereka sejak bulan lepas.
Mahkamah Rayuan benar 137 Orang Asli cabar penukaran agama
Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan agar saman sekumpulan 137 Orang Asli untuk membatalkan status agama Islam mereka, yang sebelum ini ditolak, dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan.
JPSM tingkat usaha urus, bangunkan sumber hutan demi sosioekonomi negara
JPSM meningkatkan usaha bagi mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Mengharap Bajet 2025 lebih 'hijau'
Bajet 2025 dinanti dengan penuh harapan oleh para pencinta alam sekitar dan biodiversiti agar kerajaan akan meneruskan agenda melindungi persekitaran negara.
Projek empangan: 'Syarikat perlu patuh undang-undang, hormat hak Orang Asli' - Nik Nazmi
Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin memerintahkan dua syarikat yang terlibat projek pembinaan empangan hidroelektrik mini di Ulu Geruntum, Gopeng keluar dari tanah adat Orang Asli itu serta-merta.
Persidangan Sains Tropika di Sarawak tumpu kemajuan terkini, cabaran tropika
Acara itu yang akan berlangsung dari 16 hingga 17 Okt di The Waterfront Hotel, Sarawak akan dirasmikan Premier Tan Sri Abang Johari Openg.