Orang asli cedera diserang binatang buas

Sinar Harian
Disember 8, 2021 05:45 MYT
Remaja lelaki orang asli mendapatkan rawatan selepas diserang binatang buas di Sungai Siput. -Foto ihsan pembaca
SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki orang asli cedera diserang binatang buas dipercayai beruang dalam kejadian di Kampung Kelatap, Pos Perwor, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan sedang mencari kayu di kawasan berhampiran rumahnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan.
"Laporan diterima berhubung kejadian remaja lelaki diserang binatang buas ketika keluar mencari kayu.
"Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti spesies haiwan yang telah menyerangnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, mangsa telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Sungai Siput sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Katanya, laporan polis tersebut dimajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian itu.
"Pihak kami belum dapat mengenal pasti spesies yang menyerang mangsa berikutan mangsa masih lagi menerima rawatan di hospital.
"Kakitangan akan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan kita menasihatkan penduduk berhampiran supaya lebih berhati-hati dengan tidak masuk ke kawasan semak sendirian," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Orang Asli #Pos Perwor #diserang binatang buas #Kampung Kelatap
;