Orang Asli cedera dicakar harimau
Sinar Harian
April 4, 2024 11:50 MYT
April 4, 2024 11:50 MYT
GERIK: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang harimau belang ketika menyumpit di hutan Sungai Kenarong dekat Taman Negeri Royal Belum pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, mangsa berusia 52 tahun mengalami cedera di muka dan beberapa anggota badan akibat dicakar pak belang.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan berkaitan serangan harimau belang itu diterima pada jam 9.30 malam melibatkan penduduk Orang Asli yang berasal dari Kampung Sungai Tiang.
"Mangsa sendirian berjalan kaki masuk ke kawasan hutan untuk menyumpit tupai manakala tiga rakannya berada dalam bot.
"Tiba-tiba seekor harimau belang telah menyerang mangsa dari arah kanan sebelum dia lari serta-merta. Mangsa yang panik berlari ke arah rakannya dan menaiki bot pulang ke kampung," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurut Yusoff, mangsa dibawa tok batin ke Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Kita dapati kawasan kejadian merupakan habitat utama spesies harimau belang di Taman Negeri Royal Belum selain tiada penempatan penduduk berhampiran.
"Waris mangsa bagaimanapun diminta untuk membuat laporan polis dan Perhilitan Daerah Gerik akan membantu mangsa membuat permohonan Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas," katanya. - Sinar Harian