Orang Asli bina rumah bangsal atas bukit siap sedia hadapi banjir
Bernama
November 22, 2024 17:13 MYT
November 22, 2024 17:13 MYT
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A di sini membina rumah bangsal di kawasan bukit berhampiran untuk dijadikan tempat perlindungan sementara sekiranya kediaman mereka dilanda banjir.
Ringkasan AI
- 60 rumah bangsal berkenaan telah dibina sejak sebulan lepas yang dapat menempatkan lebih 1,000 orang sebagai iktibar daripada kejadian banjir besar di Kelantan pada 2014. - Bernama
Penghulu RPS Kuala Betis Blok A Rodzi Asod berkata 60 rumah bangsal berkenaan telah dibina sejak sebulan lepas yang dapat menempatkan lebih 1,000 orang sebagai iktibar daripada kejadian banjir besar di Kelantan pada 2014.
Beliau berkata mereka masuk ke hutan sebelum musim tengkujuh lagi bagi mencari buluh, rotan dan kayu bulat untuk dijadikan tiang dan asas rumah bangsal.
"Terdapat 320 keluarga terlibat dengan setiap keluarga mengeluarkan belanja bagi membeli kanvas untuk dijadikan bumbung," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Seladak, RPS Kuala Betis Blok A hari ini.
Sementara itu penduduk Kampung Jias A Hasan Atin, 53, berkata dia bersama tiga anaknya membina rumah bangsal kira-kira 500 meter dari kediaman mereka yang mengambil masa sehingga tujuh hari untuk disiapkan.
"Saya menggunakan 50 batang buluh dan tiga helai kanvas bagi rumah bangsal ini yang boleh memuatkan 15 ahli keluarga dengan setiap kanvas dibeli RM120 sehelai," katanya dan memaklumkan rumah bangsal ini hanya sesuai untuk kegunaan sementara bagi tempoh kira-kira dua bulan.
-- BERNAMA