Orang Asli bakal jadi ahli lembaga pengarah Tourism Malaysia, Kraftangan Malaysia

Siti Hajar Jamaludin
April 22, 2019 19:58 MYT
Orang Asli Semai, Raman Bah Tuin mengalunkan tiupan pensol bertajuk Chanloi dengan menggunakan hidung ketika persembahan pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 bertemakan 'Memartabatkan Hak Orang Asli' di PICC Putrajaya hari ini. - BERNAMA
Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan melantik dari kalangan Orang Asli sebagai ahli lembaga pengarah di Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, langkah terbaharu itu dibuat selepas mengambil kira produk eko pelancongan dan penghasilan produk berkualiti daripada golongan tersebut di kawasan penempatan Orang Asli.
Katanya, ia sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan produk kraftangan Orang Asli diketengahkan dan dipasarkan di kawasan tumpuan pelancong.
"Langkah ini sebenarnya diilhamkan YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau di Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Putrajaya pagi tadi.
"Ia akan dilakukan segera dengan melantik ahli lembaga pengarah dari kalangan Orang Asli.
"Bagi memartabatkan lagi produk kraftangan mereka, wakil mereka perlu berada dalam komuniti MOTAC untuk kita sama-sama berkongsi idea dan memasarkan produk kraf dengan lebih holistik lagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar Mohamaddin, antara tumpuan MOTAC kini adalah produk eko pelancongan dan kraf kerana ia menjadi antara tarikan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.
"Pelancong tidak datang ke Malaysia untuk melihat 'hutan batu' kerana di negara mereka khususnya di Eropah kaya dengan bangunan-bangunan ikonik mereka, sebaliknya mereka ini datang kerana mereka mahu menikmati hutan tropika kita.
"Sudah semestinya di Malaysia ini, Orang Asli adalah golongan yang amat mahir dengan alam sekitar dan penempatan mereka yang kebanyakkannya berada di kawasan bukit-bukau yang merupakan produk eko pelancongan terbaik," jelasnya.
Beliau juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi terlibat bagi mengenal pasti kerusi-kerusi ahli lembaga pengarah yang boleh diisi oleh golongan Orang Asli.
"Secara tidak langsung dengan adanya mereka di dalam gerak promosi dan pelan pembangunan yang digerakkan agensi-agensi itu, maka ekonomi Orang Asli juga akan meningkat," tambahnya.
#ahli lembaga pengarah #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia #Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 #kraftangan #Mahathir Mohamad #Mohamaddin Ketapi #MOTAC #Orang Asli #pelancongan #Tourism Malaysia
;