Orang Asli: Ada yang 'ghaib' bila tiba masa terima suntikan vaksin

Bernama
Ogos 23, 2021 06:36 MYT
Menerusi program Program Vaksinasi Komuniti Asli pada Isnin, tujuh individu dari Perkampungan Sungai Sayap, Hulu Besut, yang sepatutnya menerima suntikan vaksin telah menghilangkan diri sejak awal pagi. - Gambar Bernama
JERTEH: Kebanyakan individu dalam kalangan masyarakat Orang Asli telah bersedia untuk menerima suntikan vaksin, namun masih ada sebilangan kecil yang akan 'ghaib' pada saat-saat akhir.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Nawi Mohamad berdasarkan pengalamannya mendekati komuniti itu dan menganggap ia perkara biasa kerana kebanyakan mereka akan berubah fikiran setelah diberikan penerangan secara berterusan.
Katanya, menerusi program Program Vaksinasi Komuniti Asli pada Isnin, tujuh individu dari Perkampungan Sungai Sayap, Hulu Besut, yang sepatutnya menerima suntikan vaksin telah menghilangkan diri sejak awal pagi.
"Mereka yang 'hilang' ini terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan, berusia antara 30 hingga 60 tahun... mungkin juga mereka tidak mahu menerima vaksin dan masuk hutan buat seketika.
"Pihak kami akan berusaha menjejak dan memujuk mereka agar menerima vaksin dan memberi pemahaman sebaiknya," katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan program tersebut di sebuah dewan di perkampungan itu.
Menurut Nawi beberapa hari lepas Tok Batin telah meminta mereka supaya hadir menerima suntikan dan berkemungkinan mereka enggan divaksin kerana tidak memahami serta menganggap mereka tidak menghidap sebarang penyakit.
Program itu melibatkan seramai 17 individu Orang Asli di Perkampungan Sungai Sayap serta 60 orang penduduk dari Kampung Keruak, Belaoh, Pak Sik dan Felcra Keruak.
Tambahnya program seumpama itu mampu memberi manfaat kepada penduduk kampung khususnya masyarakat Orang Asli Suku Batek tersebut, yang sering mengalami masalah pengangkutan untuk ke lokasi jauh.
-- BERNAMA
#orang asli ghaib #suntikan vaksin #tidak mahu menerima vaksin #Program Vaksinasi Komuniti Asli
;