OPS Ulat: 19 individu ditahan, operasi secara haram di KLIA dan klia2 - JPJ

Fareez Azman
Disember 13, 2022 15:31 MYT
Datuk Zailani Hashim menyertai Operasi Ulat (OPS Ulat) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, hari ini.
KUALA LUMPUR: Beroperasi secara haram, tanpa perlindungan insurans serta mengenakan caj yang mahal kepada pelancong luar merupakan antara modus operandi ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.
Kegiatan ‘ulat-ulat’ itu dibongkar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Ulat (OPS Ulat) yang diadakan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, seramai 19 individu berjaya ditahan sepanjang operasi terbabit melibatkan 15 kenderaan persendirian dan empat kenderaan perkhidmatan awam.
"Mereka menyediakan perkhidmatan limosin, teksi secara haram yang secara jelas memberi satu bentuk penganiayaan penumpang luar khasnya yang caj begitu tinggi berbanding limosin, teksi yang ada permit sah di KLIA dan klia2.
"Caj mereka kenakan dalam lingkungan RM80 hingga RM150 untuk satu perjalanan ke Kuala Lumpur (KL), kalau luar dari KL makin tinggi.
"Caj sebenar sekitar RM65 hingga RM80 sahaja, ini satu bentuk penganiayaan kepada mereka (pelancong) yang baru datang ke negara kita," katanya dalam sidang media, di KLIA, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang terlibat dikatakan cuba berhubung dengan pelanggan secara fizikal dengan tawaran perkhidmatan teksi lebih cepat tanpa beratur panjang.
Bahkan, tegasnya, terdapat segelintir 'ulat' yang menggunakan applikasi tertentu untuk mendapatkan pelanggan meskipun penguatkuasaan dijalankan di sekitar KLIA dan klia2.
Tambahnya, OPS Ulat melibatkan seramai 14 orang pegawai JPJ di Stesen Penguatkuasa (SPK) KLIA termasuk anggota penyamaran bermula 4 hingga 12 Disember lalu.
Untuk rekod, sejak tahun 2015, sebanyak 630 kes ‘ulat’ telah direkodkan melibatkan negeri Selangor.
Daripada jumlah itu, seramai 29 individu telah dijatuhkan hukuman penjara.
Mengulas mengenai beberapa teksi yang mempunyai permit terlibat dalam kegiatan itu, jelas Zailani, ia merupakan jalan mudah buat mereka mengaut keuntungan tanpa perlu beratur di KLIA dan klia2.
"Saya maksudkan teksi ini memang ada permit, tetapi akibat daripada beratur panjang dan tidak mahu tunggu jadi mereka bertindak untuk lakukan aktiviti ini.
"Mereka juga caj tidak mengikut meter dan resit ditetapkan, itu yang dijadikan haram dan membebankan pelanggan serta memberi imej buruk kepada negara," katanya lagi.
Individu yang ditahan jelasnya boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Tegas Zailani lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan komited membanteras gejala negatif itu bukan hanya di KLIA dan klia2, bahkan juga di lapangan terbang di seluruh negara.
#Ops Ulat #KLIA #KLIA2 #Jabatan Pengangkutan Jalan
;