Ops Raya 2018 sasar waktu respons lebih pantas
Hilal Azmi
Jun 11, 2018 21:10 MYT
Jun 11, 2018 21:10 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digesa untuk meningkatkan waktu respons untuk sampai ke tempat kecemasan kepada tempoh 10 minit.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sepanjang 2017, 83 peratus daripada panggilan kecemasan telah diberi respons dalam tempoh kurang dari 20 minit.
“Walau bagaimanapun sasaran sebenar JBPM untuk sampai ke tempat kecemasan adalah dalam tempoh kurang dari 10 minit.
“Kita merasakan peratusan ini perlu diperkemas dan kalau boleh cepat lagi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Pencegahan Kebakaran dan Keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Sambutan Aidilfitri di Cheras pada Isnin.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM yang memulakan tugas pada Selasa, Mohammad Hamdan Wahid serta Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Ops Raya 2018 menyaksikan 18 lokasi strategik dikenal pasti di sepanjang lebuh raya bagi menempatkan unit jentera JBPM sebagai persediaan menghadapi panggilan kecemasan.
Malah, seramai 14,000 anggota bertugas sepanjang cuti perayaan yang akan bertugas 24 jam secara bergilir sebagai persediaan menangani insiden melibatkan kebakaran dan kerja-kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#KPKT
#Mohammad Hamdan Wahid
#Mohammad Mentek
#Ops Raya 2018
#Zuraida Kamaruddin