Ops Pantau: KPDNHEP rampas barangan lebih RM13.32 juta

Bernama
Mei 24, 2022 23:36 MYT
Nanta berkata jumlah itu adalah bagi pencapaian tahun 2022. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memeriksa 279,251 premis di seluruh negara, dan membuka 3,992 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM13.32 juta melalui Ops Pantau.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jumlah itu adalah bagi pencapaian tahun 2022, berdasarkan statistik sehingga Mac dan sebanyak 6,706 aduan telah diterima dengan 89.61 peratus aduan berjaya diselesaikan.
"Berdasarkan daripada data melalui Ops Pantau ini bagi tempoh sama, KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun lebih RM1.66 juta dan denda lebih RM41 ribu, kepada peniaga atas pelbagai kesalahan," katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Terbuka Raya Sektor Perdagangan Dalam Negeri Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini malam ini.
Ops Pantau adalah untuk memastikan keberadaan bekalan barang yang menjadi tumpuan pengguna pada Hari Raya Aidilfitri mencukupi dengan harga yang munasabah tanpa unsur pencatutan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah menggerakkan susun kerja dalam memastikan agenda digitalisasi yang menjadi objektif utama sektor peruncitan.
"Tumpuan utama kementerian adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil dapat menerima serta menggunapakai teknologi pembayaran secara e-tunai.
"Pendekatan secara tanpa wang tunai ini merupakan wadah utama, kerana ia memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil tambahan pula dengan situasi pandemik pada masa ini, yang mengalakkan transaksi tanpa tunai," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya masih lagi mengkaji penetapan harga siling bagi penjualan ayam mentah dan Skim Kawalan Harga Maksimum yang bermula dari 5 Feb hingga 5 Jun ini.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #Ops Pantau #nilai rampasan #Alexander Nanta Linggi
;