Ops Pantau: KPDN kesan 164 kes dengan nilai kompaun lebih RM500,000
Afiezy Azaman
April 5, 2024 12:26 MYT
April 5, 2024 12:26 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 164 kes atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM558,956.63 sepanjang Ops Pantau 2024 yang bermula 12 Mac hingga 4 April.
Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, Ops Pantau telah dilaksanakan untuk memantau pematuhan aktiviti perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal.
"Pemantauan dibuat di 38,126 premis dan hasilkan sebanyak 164 kes serta kompaun dikeluarkan serta merta melibatkan jumlah RM558,956.63.
"Pada masa sama, kita juga telah menerima aduan sebanyak 1,216 daripada orang awam di platform-platform KPDN," katanya dalam sidang media selepas lawatan di Enforcement Command Centre (ECC), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Putrajaya, pada Jumaat.
Armizan berkata, penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan dalam talian.
Jelasnya, antara kesalahan diambil tindakan meliputi kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barangan tiruan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pelaksanaan Ops Pantau digerakkan sepenuhnya melalui Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS) untuk membolehkan tindakan susulan yang pantas dan berkesan.
"Bermula Januari lalu, sistem IEMS telah diguna pakai sepenuhnya di seluruh negara dengan Pembangunan Fasa 2 yang telah menaik taraf sistem sedia ada.
"Ini melibatkan komponen penambahbaikan kaedah pemeriksaan dan pengkompauan dengan konsep penguatkuasaan meliputi 5P iaitu Perisikan, Pemeriksaan, Penyiasatan, Pendakwaan dan Pengurusan Ekshibit.
"Penaiktarafan sistem ini juga meliputi Modul Kawal Selia Harga dan Bekalan, Harta Intelek, Pengurusan Penguatkuasaan dan Aplikasi Mudah Alih bagi kegunaan operasi Pegawai Penguatkuasa menerusi telefon bimbit, tablet komputer, komputer riba dan pencetak," katanya.
Beliau menambah, sistem itu diintegrasi secara terus dan mengikut masa nyata (real time) dengan Pusat Arahan Penguatkuasa (ECC).
Armizan dalam pada itu memaklumkan, ECC akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan tugas-tugas penguatkuasa dan pemantauan dapat diteruskan.