Ops Noda: Remaja bawah umur jadi hamba seks

Astro Awani
Oktober 9, 2014 15:25 MYT
Mangsa warga Vietnam berusia 17 tahun ditemui bersama 12 rakan senegara dipercayai GRO dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan awal pagi tadi. -Gambar fail
Lagi remaja bawah umur diselamatkan daripada terus dijadikan hamba seks.
Mangsa warga Vietnam berusia 17 tahun ditemui bersama 12 rakan senegara dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan dekat Taman Maluri, Cheras awal pagi tadi.
Unit Siasatan Jenayah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai ASP Muhammad Jais bersama seorang pegawai dan tujuh anggota menyerbu premis terbabit jam 1 pagi hasil intipan selama seminggu.
Premis berlesen itu didapati turut membenarkan penggunaan dadah ketika berhibur susulan penemuan dadah jenis Eramin 5 serta beberapa bungkusan plastik berisi pil Ecstasy.
Semakan terhadap GRO terbabit mendapati kesemua mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Dilaporkan, GRO terbabit menerima tip sekitar RM100 manakala khidmat seks pula dikenakan bayaran pada kadar RM500 untuk satu malam.
Polis percaya kegiatan itu didalangi agen pelacuran.
Kesemua mereka, termasuk seorang penjaga, ditahan dan dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran.
#Bukit Aman #Cheras #D7 #ecstasy #GRO #IPD #Muhammad Jais #seks #Vietnam
;